Puisi atau sajak kebiasaannya ditulis untuk menyampaikan sesuatu maksud secara tersirat atau meluahkan perasaan terpendam.
Begitu juga bagi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau memilih untuk menulis sajak sebagai satu cara bagi meluahkan perasaannya baru-baru ini.
Sajak yang dihasilkan sendiri oleh penasihat kepada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu bertajuk 'Pada Yang Muda Kusematkan Harap'.
Ia dikatakan dibaca pertama kali oleh Mahathir semasa satu program yang diadakan di Sungai Petani, Kedah pada 10 Disember lalu.
Antara lain sajak itu merupakan pesanan Mahathir kepada golongan muda mengenai kebimbangannya terhadap masa depan negara, gejala rasuah seperti didakwanya sejak beberapa tahun lalu dan hutang berbilion ringgit yang ditanggung rakyat.
Dalam sajaknya kali ini, Mahathir sekali lagi meluahkan perasaan dengan mengatakan umurnya sudah semakin tua dan beliau tidak memerlukan sebarang kekayaan ketika sedang 'menunggu masa untuk bertemu Illahi'.
Berikut adalah sajak terbaru Mahathir:
Pada Yang Muda Kusematkan Harap
Aku tidak perlu apa-apa kekayaan
Aku mengerti umurku yang tua
menunggu masa bertemu Ilahi
Aku boleh selesa diam tidak bersuara
Supaya dijulang dan diangkat oleh mereka
Sepanjang nafas dan usia
Tetapi aku harus bersuara di akhir hayat
Tanpa meminta apa-apa untuk diriku
Malah tidak mengapa aku dihina dan dicerca
Semuanya kerana mataku melihat kemusnahan
oleh pemimpin di puncak kuasa
Yang rakus dan boros tidak terhalang
Menabur rasuah dan membeli orang
Pada mata tuaku
Aku melihat hutang berbilion
yang akan dibayar oleh cucu dan cicit rakyat
Aku melihat wang dipinjam hari ini
seperti tiada lagi hari esok
Semuanya
untuk membeli segala undi
untuk membeli segala kuasa
Pada senja hayatku
Aku melihat apa yang dibina berdekad lama
Dimusnahkan dengan wang
yang bukan miliknya
Dia menghidangkan wang haram untuk semua memujanya
Dia menjanjikan bulan dan bintang kepada semua tanpa mengira harga yang perlu dibayar
oleh cucu cicit kita setelah dia tiada lagi bernafas
Segala wang haram
Disamun, dirompak dan dipinjam secara halus
Untuk dibayar oleh rakyat
Wang haram diselerakkan untuk suap dedak mereka yang tiada lagi nilai dan hormat diri
Mereka menjual negara
Mereka menjual diri
Mereka menjual maruah
Mereka menjual agama
Aku tidak dapat melakukan semua
Namun pada yang muda kusematkan harap
Untuk membetulkan Malaysia
Dengan bersama, BERSATU, berganding
Supaya ia tidak tenggelam
Dengan tangan kotor
Dan harganya dibayar
Oleh cucu dan cicit kita
Tun Dr. Mahathir Mohamad
10 Disember 2016
Ini bukan kali pertama Mahathir menulis sajak. Antara sajak popular beliau bertajuk 'Perjuangan Yang Belum Selesai' yang ditulis ketika masih menjawat jawatan perdana menteri dan presiden Umno.
Sajak itu juga pernah berkumandang ketika perhimpunan agung parti Melayu itu dan kerap disiarkan di kaca televisyen satu ketika dahulu.
Selain itu, Mahathir juga menghasilkan sajak bertajuk 'Aku Akan Pergi Tak Lama Lagi' kira-kira setahun lalu yang berkisar mengenai kebimbangannya terhadap bangsa dan tanah air.
Bekas perdana menteri itu kini berpatah arang terhadap parti dan kerajaan yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.
Malah beliau dengan beberapa lagi pemimpin Umno, termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan parti baru- BERSATU bagi menentang kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir menghalakan kritikannya terhadap Najib terutama dalam dakwaan penyelewengan 1MDB dan salahguna kuasa yang didakwa dilakukan perdana menteri bagi menutup skandal berkenaan.
Bagaimanapun, Najib menafikan tuduhan bekas mentornya dan menepis sebarang salahlaku dalam syarikat milik negara itu.
