Malaysiakini
BERITA

Aktivis #TangkapMO1 digantung 1 semester, denda

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Dis 2016, 11:36 tengahari

Anis Syafiqah Md Yusof dan dua lagi aktivis mahasiswa digantung pengajian selama satu semester, diberi amaran dan didenda sehingga RM400 selepas didapati bersalah memalukan universiti susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur.

Seorang lagi aktivis bagaimanapun hanya dikenakan hukuman denda RM400.

Hukuman tersebut ditetapkan ke atas empat aktivis terbabit hari ini selepas prosiding akhir di hadapan tiga panel Lembaga Disiplin Universiti Malaya (UM) dijalankan dua minggu lalu.

Selain Anis, tiga penuntut terbabit ialah Mohd Luqman Hakim Fazli, Mohammad Luqman Nul Haqim dan Suhail Wan Azhar.

Anis dan tiga lagi pelajar terbabit sebelum ini dituduh melanggar kod kelakuan pelajar dengan menganjurkan perhimpunan #TangkapMO1, menyebabkan gangguan awam serta mencemarkan nama baik universiti.

Anis menjadi tertuduh pertama dipanggil panel terbabit hari ini, diikuti tiga lagi rakannya.

Selain Anis, siswa yang digantung pengajian dan didenda itu ialah Luqman dan Mohammad Luqman Nul Haqim, manakala Suhail dikenakan denda saja.

Keputusan penggantungan Anis serta tiga lagi rakannya itu diputuskan oleh Pengerusi Lembaga Tatatertib UM, Prof Dr Azizah Hamzah.

Perhimpunan #TangkapMO1 dianjurkan bagi mendesak pihak berkuasa penahanan "Malaysian Official 1" yang dinamakan berkali-kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengaku Datuk Seri Najib Razak ialah MO1 tetapi menegaskan perdana menteri bukan sebahagian daripada siasatan DOJ.

Tubuh tabung kumpul dana

Anis yang ditemui wartawan berkata, dia kesalnya dengan tindakan yang dikenakan UM ke atas mereka kerana prosiding yang dijalankan didakwanya tidak adil.

"Walaupun mereka (Lembaga Disiplin UM) tidak dapat membuktikan dengan jelas dan terdapat kecacatan dalam proses pengadilan, kami tetap dihukum.

"Saya rasa prosiding yang dijalankan tidak adil kerana yang diperlukan menunjuk bukti tidak bersalah adalah tertuduh, bukan penuduh," kata Anis ketika ditemui selepas menerima keputusan dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Anis berkata pihak universiti seharusnya membela nasib mereka, bukannya melakukan tekanan.

"Jadi, saya mahu tekankan di sini, universti sepatutnya mengambil berat nasib atau masa depan siswa dengan memberikan sokongan kepada untuk meneruskan serta menamatkan pengajian, bukannya menggantung kami.

"Ini adalah intimidasi daripada pentadbiran universiti sendiri dan secara tidak langsung mengakibatkan tekanan psikologi apabila mereka mengambil masa agak panjang untuk melakukan prosiding dan menetapkan hukuman ini," katanya.

Kata Anis lagi, mereka bukanlah sasaran utama universiti sebaliknya ia lebih untuk menakutkan siswa lain daripada terus bersuara.

Mengenai hukuman yang diterima, Anis berkata, ia tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus bersuara.

Pada masa sama, mereka akan cuba membuat rayuan atas hukuman yang diterima.

Manakala denda yang perlu dilunaskan kepada pihak universiti, Anis berkata rakan mahasiswa lain telah menubuhkan tabung bagi membantu dia dan tiga yang lain.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.