Amid Nordin letak jawatan Exco Melaka
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka Datuk Wira Amid Nordin, yang telah didapati bersalah oleh Umno kerana terlibat dengan politik wang, meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri berkuatkuasa hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka Datuk Wira Amid Nordin, yang telah didapati bersalah oleh Umno kerana terlibat dengan politik wang, meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri berkuatkuasa hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata keputusan Amid itu dibuat setelah Amid menemuinya malam tadi.
"Beliau setuju meletakkan jawatan sebagai anggota exco dan surat rasmi perletakan jawatan akan diserahkan kepada saya hari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Belia Patriotik Peringkat Kebangsaan di Melaka hari ini.
Menurut laporan Bernama, Mohd Ali berkata beliau sendiri akan memangku portfolio jawatan exco berkenaan sebelum menyerahkan kepada pengganti Amid yang akan dilantik kemudian.
Amid, 52, yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Melaka, adalah antara tujuh ketua bahagian yang rayuan mereka ditolak oleh Lembaga Rayuan Umno setelah didapati bersalah terlibat dengan politik wang pada pemilihan Umno peringkat bahagian pada tahun lalu.
Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur semalam berkata enam lagi ketua bahagian yang rayuan mereka ditolak ialah Datuk Astaman Abdul Aziz (Wangsa Maju), Mohammad Yusoff Apdal (Silam), Datuk Rashid Ismail (Jelutong), Datuk Ismail Mamat (Machang), Datuk Onn Hamzah (Teluk Intan) dan Datuk Shahrir Abdul Jalil (Lembah Pantai).
Masing-masing telah dikenakan hukuman gantung tiga tahun.
Amid dilantik anggota exco setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas pada pilihanraya umum tahun lalu. Beliau menerajui Umno Bahagian Kota Melaka sejak 1997.
Dalam pemilihan ketua bahagian 11 Julai tahun lalu, Amid menewaskan bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dengan memperolehi 235 undi berbanding Abdul Rahim yang mendapat 126 undi.
Abdul Rahim turut tewas kepada Amid pada pemilihan 1997 dan 2001. Kota Melaka merupakan satu-satunya daripada enam bahagian di Melaka yang menyaksikan pertandingan bagi jawatan Ketua Bahagian.
Mohd Ali berkata, Amid, yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dari 1999 hingga 2004, kekal sebagai wakil rakyat Telok Mas.
Jawatan Amid sebagai Ketua Bahagian Kota Melaka kini dipangku oleh timbalan ketua bahagian Datuk Latif Tamby Chik.
Rombakan exco
"Saya juga akan memaklumkan peletakan jawatan Amid kepada Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata Mohd Ali.
Beliau berkata sebagai anggota exco, Amid rajin dan banyak mengaturkan program.
"Saya berterima kasih kepada beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya itu," katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan melakukan rombakan exco, Mohd Ali berkata beliau perlukan sedikit masa untuk mencari pengganti Amid.
Selain menganggotai exco, Amid juga adalah Pengerusi Unit Protokol Kerajaan Negeri Melaka dan juga Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Pariotisme Malaysia.
Amid, yang sepatutnya hadir di Seminar Belia Patriotik itu selaku Pengerusi IKSEP yang menganjurkannya, bagaimanapun tidak datang, dan usaha menghunginya sama ada di pejabat atau rumah juga gagal.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.