Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keganasan: Pengurus bengkel dihukum penjara 7 tahun
Diterbitkan:  Dec 16, 2016 3:16 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Seorang pengurus bengkel dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bagi kesalahan cuba memasuki Syria untuk melakukan keganasan di negara itu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh Azmi Mohd Asari, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan niat untuk pergi ke Syria dan dalam percubaan itu dia telah pergi ke Turki melalui Gaziantep, bagi maksud melakukan perbuatan keganasan di Syria.

Tertuduh yang berkelulusan diploma itu diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Mei 2016.

Azman sebelum menjatuhi hukuman itu berkata rakyat Malaysia perlu sentiasa menghargai keamanan negara ini serta tidak sewenangnya mudah bersimpati dengan pengganas di Syria dan menyertai kumpulan itu sehingga mengancam negara dan diri sendiri.

"Jangan anggap keamanan itu suatu yang mudah untuk diperolehi. Orang luar yang hidup dalam dunia yang bergolak kalau diberi peluang untuk duduk di Malaysia, mereka akan berebut-rebut datang," katanya.

Azman juga mengingatkan Azmi agar bersyukur apabila niatnya untuk ke Syria tidak kesampaian kerana tertuduh masih mempunyai keluarga dan isteri yang baru dikahwininya dua bulan sebelum ditangkap.

"Mahkamah percaya jika niat tertuduh tidak mempunyai rintangan, tertuduh akan berada di Syria dengan niat berjuang untuk kumpulan keganasan ini. Hukuman ini bukan sahaja untuk menghukum tapi lebih untuk beri ingatan dan rasa takut kepada masyarakat luar supaya jangan sesekali memberi simpati dan menyokong kumpulan keganasan," katanya.

Azmi didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat Turkish Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, di sini pada 9.20 malam, 19 Julai 2015 mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Farida Mohammad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana itu kesalahan pertamanya dan dia juga telah insaf dan tidak akan terjebak lagi.

Anggota keluarga Azmi yang berada di galeri awam dilihat menangis teresak-esak manakala tertuduh hanya menundukkan kepalanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran dengan mengambil kira perbuatan tertuduh yang serius apabila cuba memasuki Syria dan menyertai kumpulan pengganas.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah cuba memasuki Syria melalui Turki namun dia telah ditahan pihak berkuasa Turki serta diusir pulang ke Malaysia dan selepas pulang dia memaklumkan keluarga dan rakannya bahawa tujuan dia ke Syria adalah untuk menyertai perjuangan kumpulan keganasan.

Tiga lelaki mengaku tak bersalah

Sementara itu, tiga lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Tinggi berasingan di ibunegara hari ini atas pertuduhan berkaitan keganasan.

Zairosfitri Jainuddin Azhar, 24, seorang petani dan Muhammad Fesool Haron, 27, pengawal keselamatan, membuat
pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab
Rahman.

Zairosfitri mengaku tidak bersalah dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas dengan cara melakukan sumpah setia (berbai'ah) melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan perbualan "gagak hitam" di No 11, Blok A, Perumahan Awam 2, Chenderiang, Batang Padang, Perak, antara 25 Mac 2016 dan 17 Jun 2016.

Muhammad Fesool didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas melalui aplikasi Facebook miliknya yang menggunakan nama akaun "Abu Miswak Sembilan" di No 31, Km 13, Jalan Putra, Simpang Empat Kuar, Alor Janggus, Kota Setar, Kedah antara April 2016 dan 28 Jun 2016.

Pertuduhan ke atas Zairosfitri yang diwakili peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Muhammad Fesool yang tidak diwakili peguam adalah mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes Zairosfitri dan 16 Jan 2017 bagi sebutan kes Muhammad Fesool.

Di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah pula, Wan Syahrul Naim Wan Junus, 28, operator kilang, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan pengetahuan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbit miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di alamat No 127, Kampung Pondok Cegar, Pendang, Kedah antara 25 Mac 2016 dan 29 Jun 2016 mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan bolehlah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa memiliki item yang berunsurkan perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas di tempat sama, pukul 11.15 malam 29 Jun lepas.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Zaidan Daud didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 Januari untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS