Bekas ketua setiausaha kementerian kewangan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mempersoalkan sama ada kesalahan seperti khalwat perlu diteruskan sebagai kesalahan jenayah.
Ini selepas seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera apabila mereka cuba mengelak daripada ditangkap khalwat dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal bulan ini.
Sheriff, yang merupakan anggota kumpulan masyarakat sivil G25 berkata pelaksanaan serbuan itu di bawah undang-undang syariah sering memalukan sistem keadilan di negara ini.
Merujuk pandangan beberapa ulama yang mengatakan serbuan khalwat sebagai 'anti Islam' kerana memberi gambaran bahawa Islam menggunakan hukuman sebagai satu-satunya cara untuk menegakkan nilai moral, Sheriff juga menyebut mengenai orang Melayu yang telah melawat ke negara-negara Teluk.
"(Mereka) kata, tiada mana-mana negara Arab yang menggunakan polis moral untuk melakukan serbuan ke dalam privasi sesebuah rumah atau bilik hotel dalam mencari pesalah khalwat," kata Sheriff.
Beliau juga menyatakan dasar kepolisan nilai moral sukar dikuatkuasakan dengan adil kerana yang sering menjadi sasaran adalah rakyat miskin.
"Orang kaya dan berkuasa terlepas dengan dosa-dosa yang lebih besar, terutamanya apabila mereka mempunyai hubungan politik yang kuat atau mampu menyimpan perempuan-perempuan simpanan mereka di pangsapuri mewah," katanya.
