Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tak halang kebebasan berkarya - IGP
Diterbitkan:  Dec 19, 2016 12:58 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Polis tidak menghalang kebebasan kartunis dan penggiat seni di negara ini berkarya dengan syarat mereka tidak menjatuhkan air muka pemimpin tertinggi negara menerusi karya dihasilkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata segala hasil karya seni yang berbentuk menghasut dan menghina akan dikenakan tindakan undang-undang, selain berdepan tindakan karya mereka dirampas.

"Polis tidak menghalang, malah memberi kebebasan kepada penggiat seni menghasilkan karya.

“Kami tidak pernah ada isu dengan karya Datuk Lat (Datuk Mohammad Nor Khalid) walaupun dia ada menghasilkan karya berkait dengan pemimpin tertinggi negara walaupun ada unsur jenaka.

"Saya tidak faham kenapa ada kartunis bertindak menghasilkan kartun berbentuk menghasut sampai membuat pameran di luar negara semata-mata menghina negara," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

Pada 17 Disember lalu, kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, 54, ditahan pada satu majlis mengumpul dana bersama peminat-peminatnya di kuala Lumpur.

Beliau juga mendakwa polis juga merampas lebih seribu bukunya dengan 12 judul menyebabkan kerugian dianggar RM30,000.

Tahan itu adalah kali kedua dalam tiga minggu. Pada 26 November lalu, Zunar ditangkap dan dimasukkan ke lokap di bawah Akta Hasutan.

Tangkapan itu dibuat sehari selepas Pemuda Umno menyerang pameran kartunnya di Komtar, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid kemudian mengesahkan bahawa Zunar ditahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Khalid mengingatkan penggiat seni supaya tidak menjatuhkan air muka pemimpin tertinggi negara dengan mencaci dan menghina mereka.

“Saya tidak faham kenapa ada kartunis yang bertindak menghasilkan kartun berbentuk menghasut sampai membuat pameran di luar negara semata-mata mahu menghina negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS