Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Curi di pasaraya, guru swasta dikenakan bon berkelakuan baik
Diterbitkan:  Dec 22, 2016 3:49 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Seorang guru sebuah sekolah swasta bernasib baik apabila Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini hanya mengenakan hukuman bon berkelakuan baik terhadapnya yang mencuri minuman dan barangan penjagaan muka di sebuah pasaraya.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Kho Yen Yen, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri sebotol Nestle Bliss Original; sekotak Olay Te Gtle SPF15; seunit pastry deco; sebotol Safi penyegar dan sebotol Bertolli Olive Oil yang kesemuanya bernilai RM110.85.

Ibu kepada lima anak itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin.

Wanita itu juga diperintah melapor diri di balai polis setiap sebulan sekali selama dua tahun dan tidak boleh melakukan kesalahan jenayah dan sekiranya tertuduh tidak melapor diri atau terbabit dengan kejadian jenayah, dia akan dihukum penjara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pasaraya Aeon Big Mid Valley pada 11.30 pagi 10 Jun lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebatan.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberi bon kelakuan baik dengan alasan itu adalah kesalahan pertamanya manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman berbentuk pengajaran.

'Curi wang majikan'

Dalam satu lagi kes, akibat mencuri wang majikan dan mengemukakan laporan palsu, seorang pengurus hotel dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.

ajistret Umzarul An-nur Umar menjatuhkan hukuman enam bulan terhadap Muhammad Rafi Mansor, 38, yang mengaku bersalah mencuri wang tunai berjumlah RM3,006 milik Hotel Kita di Lot 1659 dan 1660, Jalan Raja Laut di ibunegara pada 10 pagi 13 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman enam bulan terhadap tertuduh kerana memberi maklumat secara lisan atau bertulis yang palsu kepada seorang penjawat awam, di Balai Polis Chow Kit, Jalan Haji Taib 1 di ibunegara pada 11 pagi 19 Disember lepas.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh dia tangkap, pada 20 Disember lepas.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia penanggung utama keluarganya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS