Most Read
Most Commented
Read more like this

Terjemahan Para perwakilan PAS di muktamar kali ini telah memberi kepercayaan kepada ramai pemimpin muda dalam barisan kepimpinan baru untuk memikul tanggungjawab menerajui parti itu menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Ini terbukti dengan pemilihan pemimpin lebih muda, bekas setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa sebagai timbalan presiden yang baru bagi menggantikan Senator Hasan Shukri yang menyandang jawatan itu sejak empat tahun lalu.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS, Yahya Ismail mengumumkan, Nasharuddin, 42, mendapat 536 undi untuk menewaskan Hasan dan seorang lagi calon timbalan presiden, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Pengumuman yang dibuat pada jam 5.30 petang tadi itu disambut dengan laungan Allahuakbar oleh 1,200 perwakilan yang menghadiri muktamar PAS ke-51 yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan.

Nasharuddin bekas pensyarah universiti yang mendapat pendidikan di Jordan dan UK adalah seorang pemimpin berpendidikan Islam dan dilihat mampu menjadi jambatan antara golongan ulama lama dan profesional dalam parti itu.

Manakala seorang lagi pemimpin ulama PAS, Azizan Abdul Razak, yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, gagal mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sebelum ini.

Tiga jawatan naib presiden dimenangi oleh Exco Negeri Kelantan, Husam Musa, 46; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan bekas Ketua Pemuda PAS, Mohammad Sabu, 55 lebih dikenali sebagai Mat Sabu; dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Seperti yang dijangkakan, Husam calon popular yang mendapat sokongan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memperolehi undi tertinggi 577.

Mat Sabu memperolehi 445 undi manakala Dr Hassan mendapat 435 undi untuk mengekal jawatan yang disandangnya itu sebelum ini.

Ketika-tiga naib presiden baru ini dianggap sebagai mewakili golongan profesional dalam parti itu.

Bagaimanapun, calon tunggal wanita bagi jawatan naib presiden, Dr Siti Mariah Mahmud yang turut disokong Nik Abdul Aziz gagal terpilih, apabila menduduki tempat keempat.

Keputusan pemilihan kali ini jelas mencerminkan keseriusan ahli-ahli PAS, bukan sahaja untuk membawa pembaharuan, tetapi juga menyokong usaha-usaha untuk melembutkan imej 'keras' parti Islam itu.

Para pemerhati parti percaya parti yang ditubuhkan pada 1951 itu sedang melalui pembaharuan dan perubahan berikutan kekalahan teruknya dalam pilihanraya umum lalu di mana PAS kehilangan 21 daripada 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada 1999.

Sejak muktamar lalu, ahli-ahli terutama profesional dan golongan ulama muda telah menggesa dilakukan perubahan dalam parti untuk menarik pengundi muda dan bukan Islam bagi memastikan PAS terus relevan menjelang pilihanraya umum akan datang pada 2008.

Agenda perubahan

Seorang bekas wartawan yang mengikuti rapat pembangunan parti itu, berkata Nasharuddin dipilih untuk menerajui pembaharuan dan perubahan dalam PAS.

"Ini tidak bermakna Hasan tidak bagus, tetapi beliau gagal membantu presiden (Abdul Hadi Awang). Mereka lebih yakin Nasharuddin dapat membantu presiden dalam membawa perubahan yang diperlukan oleh parti," katanya.

Manakala seorang lagi ahli lama parti dari Terengganu yang turut mengharapkan perubahan dalam PAS, mengingatkan Nasharuddin bahawa tugas yang bakal dipikulkan adalah cukup mencabar.

"Pemilihan inilah belum bererti semuanya telah berakhir. Ini hanya satu permulaan baginya. Beliau memikul tanggungjawab berat untuk dipikul dalam menjayakan agenda pembaharuan yang telah ditetapkan oleh muktamar kali ini," katanya.

"Jadi, beliau mesti ingat, jika para perwakilan mengambil keputusan menggantikan ustaz Hasan Shukri yang telah bersama parti sejak berusia 15 tahun, mereka boleh melakukan perkara yang sama terhadap Nasharuddin jika beliau gagal melaksanakan tugasnya."

Jawatankuasa pusat

Manakala enam muka baru dipilih menganggotai jawatankuasa pusat. Mereka ialah Presiden Persatuan Ulama, Abdul Ghani Shamsuddin; Pesuruhjaya PAS Negri Sembilan, Dr Rosly Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Kedah, Amiruddin Hamzah; dan pemimpin pemuda yang sedang meningkat naik, Mujahid Yusuf Rawa; Abdul Ghani Rahman dan Dr Mahfodz Muhammad.

Para pemerhati parti percaya pemilihan muka-muka baru ini gabungan golongan profesional dan ulama akan dapat membantu penyandang lama yang turut terpilih, termasuk Datuk Kamaruddin Jaafar, Dr Hatta Ramli, Dr Lo' Lo' Ghazali, Taib Azamuddin, Idris Ahmad dan Hashim Jasin.

PAS mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya bagi setiap dua tahun. Ini merupakan pemilihan parti selepas kekalahan teruknya dalam pilihanraya umum Mac 2004.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS