Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hadi mungkin sudah ijtihad sebelum ke Iran, kata Nasharudin
Diterbitkan:  Dec 25, 2016 12:01 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin telah berijtihad (membuat ketetapan dan menyelidik) sebelum memutuskan untuk pergi ke Iran.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Nasharudin Mat Isa berkata Hadi selaku orang alim mungkin sudah berfikir terlebih dahulu mengenai perkara itu.

“Saya tak pasti apa sebab beliau pergi ke Iran. Sebagai seorang alim sudah tentulah beliau sudah berijtihad.

“Ijtihad seorang alim ini Rasulullah SWA sudah sebut, bila kita berijtihad kita dapat dua iaitu kalau salah dapat satu pahala dan kalau betul dapat dua pahala.

“Saya pasti beliau sudah berijtihad dalam konteks itu. Saya dapati perdebatan dalam sosial media, saya tengok banyak perdebatan itu lebih kepada sentimen dan bukannya fakta,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia.

Nasharudin yang juga bekas timbalan presiden PAS berkata demikian ketika ditanya mengenai kecaman yang diterima Hadi kerana berkunjung ke Iran baru-baru ini dalam wawancara eksklusif bersama akhbar milik Umno itu.

Sebelum ini Hadi menjadi sasaran kecaman beberapa pihak yang tidak senang dengan kunjungan beliau ke Tehran ketika konflik di Syria masih berpanjangan.

Iran dianggap satu daripada negara asing yang membantu Presiden Bashar al-Assad menundukkan pemberontak terutama di Aleppo.

Perang di Syria juga ditafsir kebanyakan pihak sebagai pertembungan antara kumpulan Syiah dan Sunni.

Hal itu menyebabkan Hadi yang juga Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) turut menyatakan kesediaannya meletak jawatan setelah menerima teguran dari Presidennya dibuat Dr Yusuf al-Qaradawi.

Tambahan pula, katanya, beliau bukan meminta jawatan berkenaan sebaliknya dilantik.

Nasharudin yang juga bekas ahli parlimen Bachok itu turut berkata seeloknya semua pihak harus mendengar penjelasan Hadi terlebih dahulu dan tidak mempercayai berita dari sosial media.

“Sehingga hari ini saya rasa belum ada penjelasan terus dari Tuan Guru Haji Hadi. Biarlah beliau beri penjelasan, beri beliau peluang beri penjelasan kenapa beliau pergi, atas dasar apa dan beliau mewakili siapa.

“Biar kita dapat penjelasan itu daripada tuan punya badan daripada banyak sangat penganalisis jadian dalam media sosial yang saya tengok tak berfakta pun,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS