Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demokrasi akar umbi, eksperimen Kg Baru MTD di Perak

Sebuah kampung baru Cina di Perak akan terus mengadakan pemilihan ketua kampung pada tahun depan, walaupun kerajaan negeri telah menghentikan amalan tersebut.

Pemilihan itu dimulakan pada 2009 apabila Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu. Satu lagi pemilihan tersebut diadakan pada 2013, yang dianjurkan oleh PKR.

Kini, penduduk kampung itu telah membentuk jawatankuasa pemilihan dan akan mengadakan sendiri pemilihan itu pada 2 Januari tahun depan di sebuah kuil Cina. Empat calon bertanding untuk jawatan yang tidak bergaji itu.

Walaupun jawatan itu tidak diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan negeri sekarang di bawah pemerintahan BN, namun penduduk kampung itu mahu amalan tersebut diteruskan kerana mereka mahu menguruskan kawasan kejiranan mereka sendiri.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan ketua kampung itu, Yew Soo Guan berkata, penduduk kampunt itu percaya kepada demokrasi, dan ketiadaan ketua kampung pada masa lalu telah menimbulkan banyak masalah.

"Penduduk kampung mahu seseorang menangani masalah yang dihadapi kampung kami... Isu-isu itu antara lain, mungkin termasuk longkang tersumbat, harga elektrik, kekurangan jalan lampu," kata Yew.

Beliau mendakwa Kampung Baru MTD telah semakin dipinggirkan oleh kerajaan dan kekurangan pembangunan keseluruhan di situ.

Yew berkata, pihak berkuasa nampaknya menerima bahawa ketua kampung yang dipilih adalah wakil de facto masyarakat. Bentuk pengiktirafan yang tidak rasmi itu sering membawa kepada pihak berkuasa menjadi lebih responsif, katanya.

Pemilihan ketua kampung bermula sebagai satu eksperimen pada awal tahun 2009 di Kampung Baru Gunung Rapat. Menjelang 2013, PKR membantu menganjurkan pemilihan itu untuk lima buah kampung.

Kerajaan Selangor pada 2008 juga mengadakan pemilihan tersebut bagi tiga buah kampung baru - Kampung Baru Sungai Jarom di Jenjarom, Kampung Bagan di Pulau Ketam dan Kampung Baru Pandamaran. Amalan ini diteruskan pada 2013.

Setiausaha Agung Pemuda PKR yang juga ADUN Teja, Chang Lih Kang, yang memainkan peranan penting dalam dua pemilihan ketua kampung di Perak, berkata walaupun parti itu tidak lagi terlibat, tetapi jawatankuasa pemilihan itu mendapatkan nasihat mereka mengenai bagaimana untuk mengendalikannya.

"Kami berkongsi pengalaman kami dengan mereka termasuk menjelaskan faedah mempunyai ketua kampung yang dipilih dan bagaimana untuk melaksanakan tugas itu," kata Chang.

Beliau berkata, walaupun Kampung Baru MTD tidak diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan negeri sebagai sebuah kampung baru atau kampung tersusun, ia sepatutnya diiktiraf sedemikian.

"Jika anda melihat dengan teliti, struktur keseluruhan MTD adala seperti sebuah kampung baru," kata Chang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS