Isu tanah Tok Bidan: Suhakam persoal tindakan PTG Kedah
Suhakam mempersoalkan tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah tidak mengisytihar nilai harga tanah secara umum kepada penduduk berhubung isu pengambilan tanah di Kampung Tok Bidan di Alor Star untuk tujuan peluasan Kompleks Yayasan Islam Bukhary.
Suhakam mempersoalkan tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah tidak mengisytihar nilai harga tanah secara umum kepada penduduk berhubung isu pengambilan tanah di Kampung Tok Bidan di Alor Star untuk tujuan peluasan Kompleks Yayasan Islam Bukhary.
Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Siasatan Suhakam, Prof Datuk Hamdan Adnan berkata, PTG Kedah sepatutnya tidak berselindung berkaitan harga tanah itu dengan menawarkan harga yang tidak sama kepada penduduk di kampung terbabit.
"Suruhanjaya mendapati nilai tanah yang ditawarkan kepada penduduk di kampung itu tidak sama," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil PTG, pegawai khas kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pemaju Bukhary Realty Sdn Bhd (BRSB) di Alor Star hari ini.
Sebanyak 38 keluarga di kampung itu terlibat dalam pengambilan tanah untuk tujuan peluasan kompleks berkenaan yang dilakukan pemaju BRSB menerusi kerajaan negeri.
Menurut laporan Bernama, selain itu, 75 keluarga di Kampung Datuk Murad turut terlibat dengan pengambilan tanah yang meliputi keseluruhan 1.8 hektar.
Hamdan berkata, tindakan PTG Kedah sebelum ini yang memanggil penduduk Kampung Tok Bidan dalam kumpulan kecil untuk berbincang berkaitan harga tanah, dirasakan tidak wajar dan menjurus kepada wujudnya harga yang tidak sama selain penindasan.
Khidmat peguam
Beliau berkata, agensi kerajaan itu seolah-olah bertindak sebagai orang tengah untuk kepentingan BRSB yang ingin memajukan kawasan terbabit untuk kepentingan komersial.
Katanya, kepentingan serta kebajikan penduduk di Kampung Tok Bidan sepatutnya dibela dan dilindungi kerana mereka adalah pemilik tetap tanah berkenaan.
Sementara itu, Hamdan berkata penduduk di Kampung Datuk Murad kini dalam keadaan amat tertekan kerana diberi tempoh sehingga 15 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada menerima tawaran pihak kerajaan atau mendapatkan khidmat peguam untuk membicarakan isu berkenaan.
Beliau berkata penduduk akan dianggap bersetuju dan terpaksa menerima apa juga nilai tanah yang ditawarkan kerajaan walaupun sedikit jika gagal mendapatkan khidmat peguam.
Katanya tindakan itu tidak adil kerana penduduk kampung terbabit yang rata-rata berpendapatan di bawah RM450 sebulan tentunya tidak mampu membayar kos guaman.

