Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Minta maaf pada TMJ, kata BERSATU kepada Annuar Musa
Diterbitkan:  Jan 2, 2017 6:30 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, Tan Sri Annuar Musa harus memohon maaf kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menyinggung perasaan baginda.

"Saya nak ingatkan Annuar untuk cermin diri sendiri dahulu sebelum mempertikaikan urus tadbir kelab bolasepak JDT yang diterajui oleh Tunku Ismail.

"Selesaikan dahulu masalah yang sedang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan jangan tinggalkannya begitu sahaja untuk harapkan kerajaan Persekutuan atau negeri untuk selamatkannya.

"Untuk pengetahuan Tan Sri, sebelum stadium larkin diambil alih oleh Tunku Ismail, kualiti stadium tersebut sangat teruk dengan kerusi patah, cat pudar, tandas yang kotor dan sebagainya.

"Sekarang, di bawah pengurusan kelab bolasepak JDT, banyak pembaharuan telah dilakukan. Pembaharuan yang mengembalikan roh bolasepak ke Johor," ujar beliau dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tunku Ismail yang mengingatkan Annuar agar jangan cuba 'menjolok sarang tebuan' kerana kelak buruk padahnya.

Annuar merupakan bekas presiden KAFA.

Dengan tarikh untuk rakyat di negara ini keluar mengundi pada pilihanraya umum ke-14 sudah semakin hampir, jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya, ujar Tunku Ismail.

"Kepada Tan Sri (Annuar), jangan jadi liabiliti kepada parti anda.

"Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti.

"Ingatlah bahawa anda berkhidmat kepada Rakyat. Kita sedia maklum yang Tan Sri telah membina KAFA dari mula-mula lagi dan Tan Sri juga harus bertanggungjawab atas kegagalan dan ketidak urus KAFA hari ini," katanya dalam akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, pihaknya mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat pembelian sebuah kereta mewah oleh Annuar.

"Tan Sri harus menjawab tuduhan penyelewengan wang rakyat Kelantan berkenaan pembelian kereta Porsche Panamera milik Tan Sri.

"SPRM harus siasat pembelian tersebut," kata beliau yang juga naib presiden BERSATU.

Lihat Komen
ADS