Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: Kakitangan hospital Hulu T'ganu naik jentolak
Diterbitkan:  Jan 4, 2017 10:17 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Lima puluh kakitangan Hospital Hulu Terengganu terpaksa menaiki jentolak yang disediakan Bilik Gerakan Bencana Pejabat Daerah Hulu Terengganu untuk pergi bekerja apabila laluan ke hospital itu mula dinaiki air awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata setiap tahun laluan ke hospital itu akan dinaiki air dari kedua-dua arah apabila hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama.

"Saya ada meminta agar disediakan trak supaya lebih ramai dapat dibawa ke hospital tetapi dimaklumkan ia agak berbahaya kerana arus yang deras dan adalah lebih selamat menaiki jentolak.

"Bagaimanapun sekiranya ada kes kecemasan yang memerlukan pesakit dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu atau pesakit dari hospital itu dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, kami terpaksa juga gunakan lori dan ambulans pula akan menunggu di jalan terdekat yang masih boleh dilalui," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pelawat yang datang ke Hospital Hulu Terengganu hanya berbuat demikian sekiranya ada urusan yang sangat penting sahaja, memandangkan pergerakan ke hospital itu agak terbatas ketika ini.

Dr Mohammad berkata bagi pesakit yang tidak terlalu kritikal, mereka masih boleh dirujuk ke Klinik Kesihatan Kuala Berang atau Klinik Kesihatan Ajil yang masih boleh dilalui kenderaan ringan setakat ini.

Mangsa banjir meningkat

Sementara itu menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,640 orang daripada 2,808 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 6,110 orang daripada 1,950 orang malam tadi.

Menurutnya, jajahan Pasir Mas mempunyai mangsa paling ramai iaitu 4,545 orang daripada 1,790 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan.

Sementara menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi Infobanjir, jumlah mangsa banjir di Terengganu terus mencatat peningkatan mendadak pagi ini kepada 10,734 orang, berbanding hanya 4,352 orang setakat 9 malam semalam.

Jumlah pusat pemindahan juga semakin bertambah kepada 124 lokasi yang menempatkan 3,161 keluarga ketika ini berbanding hanya 77 pusat pemindahan sebelum ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS