Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Hari ini saya membaca kisah Tan Yao Chun, seorang kanak-kanak berumur 7 tahun yang
dibenarkan untuk mendaftarkan diri di sekolah rendah walaupun bergelar ‘stateless’ atau ‘tanpa kewarganegaraan’.

Dia dilahirkan di Hospital Hatyai di Thailand, ayahnya adalah warganegara Malaysia manakala ibunya pula warganegara Myanmar.

Ayah Tan gagal untuk mendaftarkan kelahiran anaknya di kedutaan Malaysia di Thailand. Akibatnya Yao Chun tidak memiliki sijil kelahiran.

Memetik kenyataan Datuk P Kamalanathan selaku timbalan menteri pendidikan, anak-anak ‘stateless’ kini sudah boleh mendaftarkan diri di sekolah kerajaan dengan syarat salah seorang daripada ibu bapa mereka adalah warganegara Malaysia dan mendapat sokongan daripada ketua kampung atau wakil.

Cerita seperti ini bukanlah sesuatu yang asing untuk orang yang menghabiskan masa selama hampir 13 tahun belajar di sekolah kerajaan di Sabah seperti saya.

Ramai kawan-kawan saya ketika itu perlu berhenti sekolah kerana menghadapi masalah dokumen pengenalan diri padahal mereka mempunyai potensi dan keinginan untuk belajar.

Bagaimana ini terjadi?

Sepanjang tulisan ini saya akan mengambil Sabah sebagai contoh khusus berkenaan isu tanpa kewarganegaraan agar memudahkan pembaca untuk memahami isu kritikal ini.

Kebanyakkan imigran yang datang ke Sabah secara haram berasal dari negara Indonesia dan Filipina. Sesetengah daripada mereka memilih untuk berkahwin dengan orang tempatan dan sebahagian lagi lebih selesa untuk berkahwin sesama sendiri.

Apabila anak mereka lahir, pasangan yang salah seorang daripada mereka adalah warganegara Malaysia akan cuba mendaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara, manakala pasangan yang kedua-duanya terdiri daripada rakyat asing berkemungkinan besar tidak akan mengambil apa-apa usaha untuk mendaftarkan kelahiran anak.

Akibat birokrasi yang terlalu tinggi untuk mendaftarkan kelahiran anak-anak yang mempunyai ibu bapa warga asing ini dan ditambah dengan kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa anak-anak ini, maka lahirlah golongan anak-anak ‘stateless’.

Terdapat juga kes anak-anak yang dilahirkan di luar negara tetapi tidak didaftarkan di kedutaan Malaysia menyebabkan anak-anak ini menjadiseumpama itu, seperti kes Tan tadi.

Dilayan seperti binatang

Secara teknikalnya mereka ini tidak wujud atau ‘invisible child’, dan akses kepada pendidikan serta perkhidmatan kesihatan turut dinafikan.

Mereka tidak mempunyai negara, menetap di Malaysia sebagai ‘anak haram’ dan jika ingin pulang ke negara asal ibu bapa, mereka juga akan memegang status yang sama di sana.

Saya ingin persoalkan, adakah kerana kesilapan ibu bapa mereka yang datang secara haram di Malaysia menyebabkan anak-anak ini menerima hukuman seteruk ini?

Mereka tidak berdosa, seseorang itu tidak bertanggungjawab tentang bagaimana keadaan kelahirannya ke muka bumi ini.

Akhirnya kebanyakkan anak-anak ini tidak dihantar ke sekolah kerajaan atau swasta tetapi
digunakan untuk membantu ibu bapa mencari pendapatan.

Seawal usia 5-10 tahun mereka sudah terpaksa membanting tulang melakukan pekerjaaan saat anak-anak lain sedang menyiapkan kerja sekolah di rumah.

Kebanyakkan anak-anak yang bekerja ini belum lagi mengenal huruf atau nombor, dan perlu berhadapan dengan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Sekali-sekala hal ini menerbitkan air mata untuk mereka yang mengikuti cerita mereka secara mendalam.

Melalui tekanan-tekanan inilah ada di antara mereka yang silap memilih jalan yang salah dengan
terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan berunsur jenayah.

Mereka merasakan diri mereka tidak disayangi dan dipedulikan oleh sesiapa, di samping rasa cemburu yang timbul apabila melihat anak-anak lain memiliki kehidupan yang lebih mudah.

Pendidikan adalah hak asasi

Selain daripada makanan, pakaian dan tempat perlindungan, pendidikan juga merupakan hak
asasi yang sewajarnya diberikan kepada semua manusia khususnya kanak-kanak tanpa mengira
status kewarganegaraan yang dia miliki.

Saya harus memberi kredit kepada kementerian pendidikan apabila memberi peluang kepada Tan untuk belajar, dan saya juga mencadangkan agar selepas ini anak-anak stateless diberikan ruang yang lebih besar untuk menikmati pendidikan asas.

Saya pernah mengenali seorang pelajar yang cemerlang dalam SPM tapi gagal melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi akibat memegang status ‘memohon taraf
kewarganegaraan Malaysia’.

Ayahnya adalah warganegara Malaysia manakala ibunya pula adalah warga Indonesia. Saya fikir sudah masanya kementerian pengajian tinggi membuka ruang untuk ‘kes-kes’ khas seperti ini.

Sudah pastinya mereka tidak boleh diberikan manfaat yang sama seperti warganegara Malaysia
kerana itu adalah sesuatu yang mustahil.

Kita beruntung kerana negara Malaysia memiliki banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjenama kemanusiaan dan kebajikan, seharusnya mereka lebih berfungsi dalam membantu anak-anak ‘stateless’ di negara sendiri berbanding memberikan tumpuan sepenuhnya pada isu antarabangsa.

Mereka boleh sahaja mewujudkan sekolah untuk memberi pendidikan kepada anak-anak ini (hal ini sudah berlaku), dan memberi bantuan kewangan sekirannya pada masa hadapan anak-anak ini diberi ruang untuk belajar di peringkat pengajian tinggi.

Pemerintah harus mengakui mereka tidak dapat membendung kedatangan warga asing secara
haram seperti mana yang berlaku di kebanyakkan negara di dunia.

Oleh itu, mereka perlu mencari penyelesaian terbaik untuk menguruskan kedatangan ‘pelancong-pelancong ini.

Jjika tidak dapat menguruskan mereka di atas nama pemerintahan, maka urus dan bantulah mereka di atas nama kemanusiaan.

Lihat Komen
ADS