Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ulasan TMJ seimbang, wajar direnungkan - MT Umno
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan ulasan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kejayaan Faiz Subri yang memenangi anugerah berprestij Puskas Fifa 2016 sebagai cukup menarik.

Jelas Mohd Puad yang juga ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), TMJ memuji kejayaan Faiz dengan pada masa yang sama, mengingatkan bahawa kejayaan individu tidak boleh menutup kelemahan keseluruhan.

"Ia komen 'berfikir di luar kotak' dan seimbang.

"Pada saya, mesej beliau ialah jangan terperangkap dengan 'false confident' atau keyakinan palsu.

"TMJ mahu kita membuang mentaliti Malaysia yang negatif dan pada saya satu daripadanya ialah 'keyakinan palsu'," katanya dalam kenyataan.

Semalam, rasa teruja rakyat Malaysia berkenaan kemenangan Mohd Faiz Subri pada Anugerah Puskas sedikit terkesan dengan ulasan Tunku Ismail yang menganggap ia tidak menggambarkan situasi sebenar bola sepak tanah air.

“Tahniah kepada Faiz Subri. Tetapi saya tidak mahu mengangkat beliau setinggi langit seperti media cetak dan media sosial Malaysia. Saya rela dibenci kerana memberitahu kebenaran daripada disayangi untuk berkata sesuatu yang tidak berfakta,” kata Tunku Ismail.

Ia adalah pencapaian individu yang bagus, jelas Tunku Ismail tetapi mempersoalkan kedudukan bola sepak tanah air dari segi pelbagai aspek berbanding pasukan Thailand, Vietnam, Filipina atau Indonesia yang sedang meningkat maju.

Sekolah bangsa Johor

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, justeru, jangan dinafikan ada sikap buruk yang dikaitkan oleh orang luar sebagai mentaliti Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga menyifatkan cadangan Tunku Ismail mengenai sekolah bangsa Johor sebagai buah fikiran 'di luar kotak'.

"Apa salahnya KPM (Kementerian Pendidikan) membenarkan kerajaan Johor melaksanakannya. Lagi pun Johor ada pengalaman melaksanakan SRAB (Sekolah Rendah Agama Bersepadu) selain Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor.

"Yang penting ia tidak lari daripada dasar pelajaran kebangsaan. Apa salahnya kita menggunakan kaedah pembelajaran yang berbeza demi melahirkan anak bangsa dengan mentaliti Malaysia yang positif," jelasnya.

Lihat Komen
ADS