Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pelajar dakwa dipukul di lokap polis adu ke Suhakam
Published:  Jun 30, 2001 11:19 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Enam pelajar yang ditangkap dalam satu perhimpunan di depan Masjid Negara awal bulan ini mendakwa dipukul di dalam lokap, lapor sekumpulan pelajar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

"Mereka telah ditampar dan ditendang di (bahagian) perut oleh tahanan lain," kata gabungan persatuan pelajar Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA dalam aduannya kepada pesuruhjaya badan itu Tan Sri Anuar Zainal Abidin pagi tadi.

"Apa yang menghairankan (kami), di mana tahanan-tahanan ini diberikan (kebenaran mendapatkan) kunci lokap untuk masuk ke lokap tujuh tahanan ini."

Dalam perhimpunan bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 8 Jun lalu, tujuh orang, termasuk enam pelajar itu, ditahan selama hampir 24 jam di balai polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Tiga puluh wakil pelajar daripada beberapa pusat pengajian tinggi tempatan menyerahkan aduan itu dan mengadakan perbincangan hampir dua jam dengan pesuruhjaya itu. Turut hadir, setiausaha Suhakam Kamaruddin Mohamed Baria.

Sementara Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), sebuah persatuan dalam GMMI, menyerahkan memorandum berhubung beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dianggap bercanggah dengan hak-hak asasi.

Seksyen-seksyen 7 dan 11 melarang pelajar atau pertubuhan pelajar berhimpun atau menganjurkan perhimpunan seramai lebih daripada lima orang dan menjalankan sebarang kegiatan di luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.

Menurut seksyen 15 (3) dan (4) pula, pelajar dan pertubuhan pelajar dilarang menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap sebarang parti politik, kesatuan sekerja atau badan-badan lain.

Kebakaran DTC, pelajar disiasat

Sementara seksyen-seksyen 10 dan13 menyebutkan pelajar atau pertubuhan pelajar dilarang membuat rayuan atau apa-apa hubungan dengan pihak akhbar atau orang ramai berkaitan hal-ehwal universiti. Akta itu juga melarang pelajar menerbitkan atau mengedar dokumen di dalam atau luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor

Mereka juga menggesa Suhakam mengkaji pencabulan hak asasi terhadap kakitangan akademik di universiti-universiti tempatan.

"Kakitangan ini tidak boleh membuat kenyataan mengenai sebarang isu yang dianggap berbau politik atau kontroversi, membuat kenyataan terbuka kepada media, menerbit tulisan sendiri, menyatakan sokongan kepada parti-parti politik," memorandum itu dipetik.

"Ahli akademik juga dihalang membuat sebarang kritikan terhadap dasar dan pendirian universiti terhadap sesuatu isu."

Sementara itu Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) menggesa semua pihak, termasuk pemimpin negara, menghentikan kenyataan awal menuduh siswa terlibat dalam kejadian kebakaran Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya.

Presidennya Mahadi Sukarno berkata persatuan itu "memandang berat" beberapa kenyataan yang mendakwa pelajar-pelajar Universiti Malaya terlibat dengan kejadian awal pagi semalam.

Menurut akhbar, kejadian pada jam 3 pagi itu memusnahkan kira-kira 90 peratus dewan bersejarah itu, beberapa hari sebelum satu program pelajar yang dijadualkan melibatkan Perdana Menteri dan timbalannya diadakan di situ.

Malaysiakini hari ini difahamkan seorang pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam universiti itu dipanggil untuk siasatan polis. Bagaimanapun, siasatan itu dipercayai ada kaitan dengan pengedaran risalah yang mengajak siswa membantah kehadiran Dr Mahathir Mohamad ke acara itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS