Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG rayu hukuman lebih keras terhadap Nik Nazmi
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 3:45 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Keputusan mahkamah membabitkan exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan perhimpunan Black 505 tiga tahun lalu belum berakhir berikutan pendakwaraya mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan bulan lepas.

Menurut peguam Syahredzan Johan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan anak guamnya mengenai keputusan itu semalam.

"Bagaimanapun, surat itu bertarikh 14 Disember tahun lepas," katanya kepada Malaysiakini.

Notis rayuan itu ditandatangani Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Nik Nazmi, yang juga ADUN Seri Setia, didenda RM1,500 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 8 Disember lalu kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Exco pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan Inovasi Selangor itu mengaku bersalah terhadap kesalahan tidak memberi notis yang betul pada perhimpunan Black 505 yang diadakan pada 8 Mei 2013 di sebuah stadium di Kelana Jaya.

Di bawah Perkara 64 (1) (e) Perlembagaan Negeri Selangor, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya sekiranya dijatuhi hukuman penjara selama setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak menerima pengampunan.

Nik Nazmi mengaku bersalah selepas tiga saksi memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula bulan lepas.

Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan menolak tuduhan terhadapnya selepas memutuskan keperluan untuk memberi notis 10 hari itu sebagai tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif memutuskan dalam kes Setiausaha PKR Johor R Yuneswaran bahawa memberi notis 10 hari tidak menentang perlembagaan.

Berikutan itu Nik Nazmi dan beberapa individu lain didakwa semula di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Lihat Komen
ADS