Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak petisyen pesara polis sebagai peguam
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 5:39 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Permohonan bekas pegawai penyiasat dalam kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim, Judy Blacious Pereira bagi kebenaran untuk merayu berhubung petisyen untuk diterima masuk sebagai peguam ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Panel tiga anggota diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dengan sebulat suara menolak permohonan Pereira bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan selepas memutuskan bahawa beliau gagal memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Majlis Peguam berkata berikutan keputusan ini keputusan Mahkamah Rayuan menolak petisyen Pereira untuk diterima masuk sebagai peguam masih terpakai.

Bagaimanapun, Malik memberitahu pemberita bahawa beliau tidak pasti sama ada Pereira dapat memfailkan petisyen baharu untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.

Hakim Malanjum yang mengetuai panel bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Balia Yusof Wahi tidak mengeluarkan apa-apa perintah mengenai kos guaman.

Pereira yang juga dikenali sebagai Jude Pereira, 64, memfailkan petisyen buat kali pertama untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada 23 Julai, 2012.

Majlis Peguam, bagaimanapun, membantah petisyennya sambil merujuk kepada hasil inkuiri SUHAKAM berhubung kes melibatkan penangkapan lima orang peguam semasa perhimpunan menyalakan lilin pada 2009, yang memutuskan bahawa Pereira bukan seorang saksi yang boleh dipercayai.

Pada 17 Dis, 2014, Mahkamah Tinggi di Ipoh mengarahkan Pereira menghadiri seminar dan kursus selama lapan jam anjuran Majlis Peguam atau Badan Peguam Perak mengenai hak asasi manusia dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum memohon untuk diterima masuk sebagai peguam.

Majlis Peguam sekali lagi membantah sambil menyatakan Pereira tidak mematuhi sepenuhnya syarat memandangkan beliau menghadiri program hak asasi manusia yang dikendalikan oleh Brickfields Asia College dan menyertai program sukarelawan yang dijalankan oleh UNHCR.

Pada 31 Mac, 2015, seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi telah dipatuhi secara substantial dan membenarkan petisyen Pereira untuk diterima masuk ke dalam badan peguam selepas beliau (Pereira) memberi jaminan beliau akan memenuhi syarat dan juga mengarahkan beliau menjalani lebih banyak kursus.

Majlis Peguam memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan yang pada 21 Okt, 2015 membenarkan rayuan Majlis Peguam dan menolak petisyen Pereira untuk diterima masuk sebagai peguam, dan mendorong beliau memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Dominic Selvam yang mewakili Pereira sebelumnya memohon kepada mahkamah memberi kebenaran untuk merayu berhubung tujuh persoalan undang-undang untuk Mahkamah Persekutuan memutuskannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS