Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemergian pemimpin kesayangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama Tan Sri Adenan Satem yang mesra dengan panggilan "Tok Nan" dan "Apai Besai" hari ini pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat negeri itu.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Jeniri Amir berkata Allahyarham pergi terlalu awal ketika rakyat negeri itu masih lagi memerlukan khidmat beliau untuk terus membawa kemajuan dan perubahan di Sarawak.

"Allahyarham pergi terlalu awal, ketika rakyat Sarawak masih lagi amat memerlukan beliau untuk memperjuangkan nasib rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

"Secara peribadi saya anggap beliau ibarat lilin, untuk menerangi masa depan rakyat Sarawak, beliau sanggup mengambil risiko dengan keadaan kesihatannya," katanya hari ini.

Jeniri berkata cara kepimpinan Adenan yang berani dengan memperkenalkan 55 dasar baharu sebelum ini membuktikan beliau amat memahami kehendak rakyat negeri itu yang mahukan perubahan dan kemajuan yang lebih cepat.

"Adenan dekat di hati rakyat Sarawak, ke mana dia pergi rakyat senang dengan caranya yang merendah diri, kita boleh baca di setiap entrinya di Facebook, pasti rakyat senang dengan caranya mendekati rakyat," katanya.

Dalam pada itu, seorang anak kelahiran Sarawak Abdul Khalid Mahdi berkata pemergian Tok Nan pastinya amat dirasai kerana beliau merupakan pemimpin kesayangan seluruh rakyat negeri itu tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kami seluruh Sarawak sayangkan Tok Nan, tak kira apa agama, bangsa dan politik," katanya dalam status terkini Facebooknya.

Alfa El Prince juga anak Sarawak dalam status Facebooknya berkata pemergian Adenan ibarat kehilangan bapa kepada rakyat Sarawak ketika rakyat negeri itu belum bersedia untuk berpisah dengannya.

"Kasih rakyat Sarawak padanya (Adenan) melebihi kasih pada pemimpin. Seluruhnya menganggap dialah Bapa Sarawak, "Apai Besai kami" (Bapa besar kami).

“Bapa yang selama ini membela, berjuang mempertahankan kedaulatannya telah meninggalkan anak-anaknya tanpa bersedia," katanya.

Dalam pada itu, Joseph Musat dalam kiriman kumpulan WhatsApp Anak-anak Sarawak di Semenanjung berkata Adenan amat dekat di hati mereka walaupun jauh merantau.

"Ketika program "Lan Berambeh" tahun lalu Tok Nan begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat Sarawak terbela walaupun di mana sahaja mereka berada," katanya.

Adenan, 72, meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih tugas daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb 2014.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Anu serta lima anak, masing-masing empat perempuan dan seorang lelaki.

- Bernama

Lihat Komen
ADS