Levi pekerja asing: Liow kata tangguh, Nur Jazlan sebaliknya

   

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jemaah menteri bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan dasar menuntut majikan membayar levi pekerja asing ke tahun depan.

Pengumuman menteri pengangkutan itu bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed pagi tadi yang menafikan kerajaan bersetuju menangguhkan pembayaran levi itu yang sepatutnya bermula pada 1 Januari yang lalu.

Memetik laporan Bernama, Liow berkata, kabinet juga bersetuju untuk meneliti ekosistem yang sewajarnya bagi mempermudah industri menggaji pekerja asing dan memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

"Ini bukan sekadar mengenai levi tetapi juga hak majikan dalam memperoleh akses langsung kepada pekerja berbanding menggunakan orang tengah, serta bagaimana untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat pengambilan pekerja asing.

"Pada mesyuarat itu kami turut menyuarakan akan keperluan pengambilan pekerja asing ini dikawal selia dan memastikan dasar itu dapat membantu pertumbuhan ekonomi tanpa menimbulkan masalah sosial kepada kita," kata Liow.

Pagi ini, Nur Jazlan mengatakan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan yang berkuat kuasa di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC) tidak ditangguhkan kerana sudah bermula.

"EMC tidak ditangguhkan. Ia telah bermula," kata Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai kepada Malaysiakini.

Pada 31 Disember yang lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan majikan akan bertanggungjawab membayar levi pekerja asing mereka, peraturan yang dikuat kuasa di bawah EMC.

Ia, kata Ahmad Zahid, dapat mengelak isu pekerja asing lari, bertukar sektor secara haram serta tinggal lebih masa dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, pekerja asing tidak akan lari jika mereka dibayar oleh majikan dengan upah yang sewajarnya.

"Jika majikan membayar pekerja asing dengan upah sewajarnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, pekerja tidak akan lari," kata Setiausaha Agung MTUC, Gopal Kishnam kepada Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In