Ketua menteri baru Sarawak dijangka mengangkat sumpah hari ini, lapor The Borneo Post.
Laporan itu sekaligus menukar laporan awal yang berkata majlis mengangkat sumpah angkat dijalankan esok.
Adalah difahamkan majlis mengangkat sumpah jawatan akan diadakan di Astana, kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Antara mereka yang disebut-sebut adalah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan naib presiden Datuk Amar Douglas Uggah serta Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Abang Johari dan Uggah juga adalah timbalan ketua menteri manakala Awang Tengah pula adalah menteri perancangan sumber dan alam sekitar.
Secara lazimnya, ketua menteri dilantik dari pemimpin PBB yang merupakan parti terbesar di Sarawak. Ia kini mempunyai 45 daripada 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri.
Sementara itu, portal Berita Harian Online melaporkan beberapa kenderaan membawa pemimpin kanan PBB dilihat memasuki perkarangan kediaman peribadi Abdul Taib di Demak Jaya, di Kuching pagi ini.
Antaranya ialah kenderaan membawa Abang Johari yang adalah pemimpin paling kanan parti PBB.
Difahamkan, pemimpin terbabit mengadakan pertemuan bersama Abdul Taib, khusus bagi membincangkan calon pengganti Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu.
Selain Abang Johari, mesyuarat khas itu dilaporkan disertai beberapa pemimpin kanan lain, termasuk Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Setiausaha Agung PBB/BN Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Ketua Pemuda PBB.
Memetik sumber, portal itu melaporkan pertemuan berkenaan juga bagi memaklumkan perkembangan terkini perjalanan jentera pentadbiran negeri, begitu juga PBB dan BN Sarawak kepada Abdul Taib, susulan kematian Adenan.
"Kita dimaklumkan sedang berlangsung mesyuarat khas dalam kalangan pemimpin kanan PBB, khusus bagi mengenal pasti calon paling layak bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri Sarawak, begitu juga Presiden PBB dan Pengerusi BN Sarawak," katanya.
Adenan, 72, meninggal dunia pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, empat hari selepas dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengadu sukar bernafas dan keletihan melampau.
