Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rani Kulup mahu kerajaan wujudkan SOP berkhatan
Diterbitkan:  Jan 13, 2017 12:34 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Ekoran beberapa kes melibatkan sebahagian kemaluan kanak-kanak terpotong, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SPO) untuk berkhatan.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah, berkata kejadian menimpa kanak-kanak terabit tentu meninggalkan kesan trauma, selain menjejaskan masa depan mereka.

Kejadian itu juga, katanya, menyebabkan ramai ibu bapa bimbang untuk menghantar anak-anak mereka berkhatan.

Oleh kerana itu, jelas Abdul Rani, kerajaan perlu memastikan hanya doktor bertauliah yang diberi kursus khas dibenarkan menjalankan prosedur berkhatan dengan mengikut garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita tidak mahu doktor-doktor ini mengejar keuntungan sehingga tidak mematuhi prosedur dan mengabaikan keselamatan kanak-kanak ini,” katanya dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan kes kanak-kanak terpotong kemaluan ketika berkhatan.

Seorang daripada mereka mengalami nasib lebih malang apabila yang terpotong itu ialah kepala kemaluan.

Mangsa kemudian menjalani empat kali proses pembedahan pemulihan namun kesannya dilaporkan tidak memuaskan.

Bagi Presiden Ikatan Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay, dia berharap kementerian segera mengeluarkan SOP berkhatan agar kejadian sama tidak berulang.

“SOP dikeluarkan mesti dipatuhi demi keselamatan kanak-kanak,” katanya.

NGO lain yang terlibat mendesak diwujudkan SOP berkhatan itu ialah Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Akhlak Rahsia Cekal (ARC), Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (REFORMIS) dan Persatuan Muslim Tanjung (PELITA).

Lihat Komen
ADS