Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, 66, hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri baru Sarawak menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia Rabu lepas.
Timbalan presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang lengkap berpakaian Baju Melayu hitam, mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri Sarawak keenam di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Astana, kediaman rasmi ketua negeri di Kuching pada jam 4.10 petang.
Upacara itu disaksikan isteri beliau Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, anggota-anggota Kabinet negeri, anggota Dewan Undangan Negeri dan kakitangan kanan awam.
Abang Johari atau dikenali mesra dengan nama Abang Jo, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.
Merupakan seorang ahli politik veteran, Abang Johari berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun. Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Satok selama sembilan penggal.
Abang Johari yang berkelulusan ijazah pentadbiran perniagaan dari Universiti United Kingdom, pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.
Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.
Allahyarham bapanya Tun Abang Haji Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.
Adenan yang memegang jawatan ketua menteri selama hampir tiga tahun, meninggal dunia Rabu lepas kerana komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan.
Penyelesai masalah politik
Sementara itu, Abang Johari dianggap sebagai penyelesai masalah politik Sarawak berikutan pengalaman meluasnya dalam bidang itu.
Beliau yang mesra dengan panggilan 'Abang Jo' dalam kalangan rakyat Sarawak memulakan kerjaya politiknya sebagai timbalan ketua Pemuda parti itu pada 1981.
Abang Johari menang bertanding pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok pada 1981 dan menyandang kerusi itu sehingga sekarang.
Pada Ogos 1983, beliau dilantik menjadi setiausaha politik Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri (sekarang Tun) Abdul Taib Mahmud, yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Setahun kemudian, Abdul Taib melantiknya menjadi menteri muda wilayah dan pembangunan sosial Sarawak.
Abang Johari, juga menyandang pelbagai portfolio di bawah pentadbiran Abdul Taib dan Ketua Menteri kelima Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia pada Rabu.
Antara jawatan itu ialah menteri perumahan Sarawak, menteri pelancongan, menteri urbanisasi dan keseniaan sehingga dilantik menjadi timbalan ketua menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri pada tahun lepas.
Selain itu, Abang Johari juga aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) dengan menjadi Timbalan Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).
Abang Johari dilahirkan di Limbang pada 4 Ogos 1950 kepada pasangan Tun Abang Openg Abang Sapiee dan Toh Puan Dayang Masniah Abdul Rahman, yang turut mempunyai sembilan anak lain.
Tun Abang Openg merupakan Gabenor pertama Sarawak.
Pendidikan awal
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Merpati Jepang dan Sekolah Menengah St Joseph di sini sebelum melanjutkan pelajaran dan memperoleh ijazah pentadbiran perniagaan dari University Brunel, United Kingdom.
Abang Johari dan isteri Datin Amar Jumaani Tun Tuanku Haji Bujang juga dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Jumaani, yang dipetik dalam satu artikel laman sesawang jiwabakti.com.my, menyatakan Abang Johari merupakan seorang yang mementingkan keluarga dan bersifat lemah lembut.
Beliau berkata suaminya juga gemar makan di rumah dengan hidangan kegemarannya ialah nasi briyani ayam masak merah.
Sementara itu, bekas pengurus hal ehwal korporat Housing Development Corporation (HDC) Ahadiah Zamhari menyifatkan Abang Johari sebagai seorang penyelesai masalah yang efektif.
"Sepanjang sembilan tahun bekerja dengan HDC, agensi di bawah Kementerian Perumahan negeri, saya dapati beliau dapat menyelesaikan masalah kewangan yang kritikal ketika itu," katanya.
Dalam tempoh dua bulan selepas menjadi menteri perumahan pada Julai 2004, beliau berkata Abang Johari berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk pembinaan projek perumahan mampu milik pada Rancangan Malaysia kelapan dan kesembilan.
Hasil daripada kejayaan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat, skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang sebelum ini hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia kini diperluaskan ke Sarawak.
"Skim itu memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung yang mempunyai tanah tetapi tidak mampu membina rumah,"katanya.
Ahadiah berkata beliau juga berpendapat Abang Johari adalah pemimpin yang mempunyai banyak idea, mudah didekati dan menggunakan pendekatan inklusif dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Menurutnya antara kejayaan Abang Johari ialah penubuhan jawatankuasa khas perumahan melibatkan sektor awam dan swasta yang menjadi asas kepada kerjasama rapat kedua-dua sektor itu sehingga kini.
- Bernama
