Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Orang Asli Johor dihalang masuk ladang, tanah kubur diganggu
Diterbitkan:  Jan 13, 2017 10:13 PM
Dikemaskini: 2:38 PM

Sekumpulan Orang Asli dari Johor menghantar satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi membantah pencerobohan di kawasan kubur dan tanah adat mereka.

Mereka mendakwa kontraktor telah menggali parit di tapak kubur, demikian menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Jawatankuasa Bertindak Kampung Orang Asli Ledang.

Jawatankuasa itu mendakwa kontraktor di projek Taman Negara Johor telah menjalankan pembinaan di atas tanah yang menjadi hak milik Orang Asli, sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 134 Akta Orang Asli 1954, sejak 27 Disember tahun lalu.

Bukan sahaja tanah adat mereka telah dicabuli, masyarakat Orang Asli di kawasan itu juga dihalang daripada menuai hasil di ladang-ladang mereka.

Orang asli berkenaan mendakwa mereka dilarang membawa alat pertanian seperti cangkul dan parang di tanah ladang mereka sendiri.

Pagar juga dibina di sekitar kawasan hutan bagi menghalang mereka masuk dan memperoleh sumber alam semula jadi.

"Kebebasan kami juga telah ditekan. Kami telah dihalang daripada memasuki hutan.

"Tolong jangan sekat kami, masyarakat Orang Asli. Jika anda menyekat kami (dari hutan), di mana lagi kami akan pergi? Tiada tempat lain untuk kami pergi," kata wakil Kampung Tanah Gembur Tok Batin Jengkeng Jani.

Laporan polis telah dibuat

Kampung Tanah Gembur merupakan salah satu daripada tiga buah kampung diwakili Jawatankuasa Bertindak berkenaan.

Satu laporan polis dibuat pada hari pertama pembinaan bermula dan polis datang ke tapak itu untuk menyiasat pada 3 Januari, tetapi tiada tindakan lanjut diambil.

Jawatankuasa Bertindak juga telah mendaftarkan kes ini di mahkamah pada 8 Januari.

Orang Asli berkenaan menganggap hak mereka dinafikan, ladang mereka musnah, dan tanah termasuk kubur suci mereka telah diganggu.

"Kami orang yang bebas, dan kami telah tinggal di hutan ini selama bergenerasi.

"Saya mahu kehidupan yang lebih baik daripada ini untuk anak-anak dan anak buah saya," kata wakil Kampung Sungai Air Tawas Tok Batin Mengek Ahcai.

Jawatankuasa itu mahu mereka yang bertanggungjawab meruntuhkan pagar dan memulihkan tanah itu seperti keadaan sebelum kedatangan kontraktor terbabit.

Suhakam berjanji menyiasat perkara itu sementara menunggu maklumat lanjut daripada jawatankuasa berkenaan.

Lihat Komen
ADS