Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Tanah adat OA di Ledang sebenarnya tanah rizab
Diterbitkan:  Jan 14, 2017 12:41 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Kawasan yang didakwa sebagai tanah adat Orang Asli di Ledang, dekat Johor Bahru baru-baru ini, merupakan tanah rizab yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Gunung Ledang, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Menurutnya, pewartaan tanah seluas 9,052.8 hektar itu dilakukan pada 6 Mac 1940 mengikut Warta Kerajaan Negeri Johor Bil. 298.

"Kawasan ini juga dirizabkan sebagai Taman Negara Johor di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989 dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri Johor Bil. 2622 bertarikh 27 Okt 2005, yang diletakkan di bawah jagaan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor dan pengganti-penggantinya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu susulan writ saman difailkan oleh Tok Batin Kampung Tanah Gembur, Jengkeng Jani dan Kampung Sg Air Tawas, Meghek Acai, mewakili penduduk Orang Asli dalam daerah Tangkak pada 10 Januari lalu yang menuntut hak milik tanah adat dalam kawasan rizab berkenaan.

Saman itu menamakan Zila Maju Enterprise selaku defenden pertama dan diikuti oleh tiga defenden lain iaitu Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Malaysia.

Tuntutan plaintif adalah berhubung dengan dakwaan mereka mempunyai hak milik tanah adat dan tuan punya tanah di rizab Taman Negara Johor, Gunung Ledang yang didiami ketika ini.

Selain itu, plaintif turut memohon satu perintah bagi menghalang mana-mana puak daripada memasuki atau melaksanakan sebarang kerja di tanah tuntutan tersebut.

Ayub berkata pewartaan itu dijalankan berdasarkan laporan dan teguran daripada Jabatan Audit Negara cawangan Johor terhadap Kajian Pengurusan di Taman Negara Johor pada 2014, yang mana ia mengesyorkan agar satu pengukuran halus dilaksanakan di kawasan rizab berkenaan bagi melihat pertindihan kawasan-kawasan yang berlaku pencerobohan.

Melalui kelulusan Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Bil. 2/2015, pengukuran halus yang dijalankan oleh perunding yang dilantik Perbadanan Taman Negara Johor iaitu syarikat Gates IT Solution Sdn Bhd bersama jurukur berlesen, Sahabat Ukur Consultants mendapati bahawa terdapat beberapa kawasan dan sempadan rizab Taman Negara Johor telah diceroboh dan dijadikan sebagai kebun dan ladang bagi tanaman pisang dan getah.

Selain itu, kawasan tersebut dibersihkan dan dijadikan sebagai penempatan Orang Asli (Kampung Sungai Mering) yang lengkap dengan kemudahan lain seperti jalan bertar dan bekalan elektrik.

"Lanjutan daripada itu, satu cadangan tindakan bagi pencegahan terhadap pencerobohan tersebut telah dipersetujui melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Bil. 1/2016.

"Tindakan ini merupakan satu langkah awal bagi mengelakkan kawasan yang diceroboh daripada terus berlaku dalam rizab Taman Negara Johor selain daripada pengukuran halus yang telah dijalankan," katanya.

Kata Ayub, melalui tindakan pencegahan itu, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan perjumpaan bersama wakil penduduk kampung Orang Asli, menjalankan aktiviti rondaan, pemantauan dan memasang papan tanda pemberitahuan kawasan rizab Taman Negara Johor dan Hutan Simpan Gunung Ledang di kawasan pencerobohan itu.

Selain itu, kerja-kerja pembinaan seperti menyediakan pos kawalan, pagar keselamatan dan parit tanah di sepanjang kawasan yang bersempadanan dengan rizab Orang Asli dan Taman Negara Johor yang diceroboh sedang dilaksanakan melalui peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor di bawah Rancangan Johor Lima Tahun bagi tahun 2016.

Pelaksanaan projek ini adalah selaras dengan syor-syor cadangan bagi tindakan yang perlu diambil oleh Perbadanan Taman Negara Johor hasil lanjutan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Raya Negeri Johor Bil. 1/2016 bertarikh 17 Januari 2016.

Berhubung beberapa dakwaan antaranya kerja-kerja pembinaan itu kononnya menjejaskan kemusnahan kepada kebun dan tanaman para penduduk Orang Asli di kawasan rizab berkenaan, Ayub berkata ia sama sekali tidak berasas.

"Tiada kemusnahan berlaku, sebaliknya kawasan hutan semula jadi yang sepatutnya dilindungi telah musnah akibat pembukaan dan penerokaan yang dipercayai dilakukan penduduk Orang Asli ini.

"Tanaman yang didakwa berusia beratus tahun pula sebenarnya tidak melebihi 10 tahun berdasarkan pemerhatian yang dijalankan," katanya.

Beliau berkata buat masa ini, kerajaan negeri telah mengarahkan Perbadanan Taman Negara Johor agar memberhentikan kerja-kerja pembinaan tersebut sehingga jalan penyelesaian dapat dicapai secara bersama.

Ayub juga berkata satu perbincangan akan diadakan antara Perbadanan Taman Negara Johor dengan penduduk asli yang terlibat dalam masa terdekat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS