Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
HARAPAN ikrar mansuh tol PLUS jika menang PRU14
Diterbitkan:  Jan 17, 2017 10:03 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan dan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang akan dihapuskan jika Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemansuhan itu akan dibuat demi meringankan beban rakyat.

Menurutnya, perjanjian konsesi tol Lebuhraya Utara-Selatan sepatutnya tamat pada 2018, namun ia dilanjutkan tempoh selama 20 tahun sehingga 2038.

Perkara sama berlaku kepada perjanjian asal konsesi tol Jambatan Pertama Pulau Pinang yang dilanjutkan selama 20 tahun lagi.

“Sedangkan, hasil kutipan tol sehingga akhir 2015 berjumlah RM36.3 bilion. Kos pembinaan sebenar Lebuhraya Utara-Selatan hanya RM5.9 bilion.

“Kalau menang di Putrajaya, baru kita ada kuasa untuk melakukannya. Menang kerajaan negeri saja tidak cukup kuasa untuk menghapuskan tol dan cukai GST,” katanya, memetik laporan Roketkini.

Sebelum ini, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang tampil menyokong usaha pembangkang yang antaranya mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat 1MDB jika menang PRU14.

Penubuhan RCI yang bebas itu akan menjadi antara perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang, kata beliau yang juga ahli Parlimen Gelang Patah.

"Tanpa ragu-ragu, salah satu perkara pertama akan dilakukan oleh kerajaan Persekutuan baru di Putrajaya yang menggantikan UMNO, BN adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk 'memburu setiap sen dari 1MDB'.

"Malah, jika kita mempunyai Kabinet yang patriotik dan melindungi nama baik Malaysia, keutamaan agenda mesyuarat Kabinet pada Rabu ini hendaklah berkisar mengenai bagaimana untuk membersihkan nama negara daripada kehinaan dan azab yang dianggap di seluruh dunia sebagai "kleptokrasi global," katanya.

Lihat Komen
ADS