Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa tak beg kertas, beg plastik mudah lupus?'

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata pengguna di negara ini perlu didik menggunakan beg kertas dan plastik mudah lupus dalam usaha menjaga alam sekitar.

Katanya kerajaan perlu merancang kempen itu dan dalam masa yang sama tidak menyusahkan pengguna.

“Kita perlu guna plastik mudah lupus yang harga dia hanya 10sen. Kalau pasar raya sediakan plastik mudah lupus saya pun setuju. (Ini tidak) mereka sediakan plastik (biasa) dan paksa kita beli pula.

“Kita kena beritahu masyarakat ini plastik mudah lupus, ini plastik biasa. Barulah ada proses pendidikan.

“Paling tidak gunakan beg kertas seperti di luar negara. (Dengan guna beg kertas) kita tak libatkan peniaga dan tak beri keuntungan pada mereka.

“Jadi benda ini perlu dikaji. Kerajaan kena rancang sesuatu supaya ia dapat selaraskan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabat PPIM, di Kuala Lumpur.

Nadzim berkata demikian mengulas mengenai Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin setiap hari bagi semua pusat komersial utama mulai 1 Januari lalu selepas membuat peraturan sama setiap Sabtu sejak 2010.

Bagi pengguna yang tetap ingin menggunakannya, mereka bagaimanapun boleh mendapatkan ia dengan membayar tambahan 20 sen bagi setiap satu beg plastik.

Mengulas lanjut Nadzim berkata kempen ini adalah perkara yang baik jadi ia perlu garis panduan serta dilaksanakan dengan cara yang betul dan memudahkan pengguna.

“Kita harap kalau dilaksanakan dengan baik, bila kempen ini di hati rakyat pengorbanan itu ada maknanya tidak berlawan dengan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Nadzim mempersoalkan mengenai hasil wang kutipan daripada penjualan beg plastik yang mahu digunakan bagi kerja-kerja pemeliharaan alam sekitar.

Pada masa sama, kerajaan negeri menyatakan, wang terkumpul daripada penjualan beg plastik berkenaan sepatutnya digunakan bagi kerja-kerja pemeliharaan alam sekitar (CSR).

Ia kerana kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengaudit peniaga terbabit.

“(Kerajaan negeri kata) duit ni nak buat kerja-kerja pemeliharaan alam sekitar. Apa jenis CSR kita tak tahu. Kita pun tak faham. Ada kaedah dia, ada laporan ke?” soalnya.

Lihat Komen
ADS