Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Kedudukanya agak terpencil.

Ramai yang tidak tahu mengenai kewujudkan Pulau Omadal yang terletak berhampiran Semporna Sabah. Apatah lagi jika disebut nama Iskul Sama Dilaut Omadal.

Ia sebenarnya, adalah sebuah sekolah komuniti - di mana kanak-kanak berdedikasi yang menghadiri sekolah kerajaan mengajar rakan sebaya mereka yang kurang bernasib baik.

Anak-anak Bajau Laut ini diajar kemahiran penting, seperti bagaimana untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan asas matematik.

Iskul Sama Dilaut Omadal bermaksud Sekolah Bajau Laut Omadal dalam bahasa Bajau.

Dan percaya atau tidak, penubuhan sekolah semuanya bermula dengan hanya satu senyuman.

Apabila Chuah Ee Chia, menjejak kakinya ke Semporna,Sabah pada tahun 2013 untuk aktiviti menyelam, beliau langsung tidak terfikir bagaimana komuniti Bajau Laut akan memberi kesan kepada hidupnya atau dan sesungguhnya dirinya kepada mereka.

"Saya bertemu gadis kenit ini yang mempunyai senyuman paling indah yang pernah saya lihat, dan saya tertarik dengannya," kata Ee Chia.

Jatuh hati

Setelah berkawan dengan gadis itu dan dimaklumkan namanya Ginara, beliau mengikutinya pulang ke rumah dengan sampan.

Ee Chia kemudiannya bertemu dengan ibu bapa dan empat adik-beradik gadis itu. Usia gadis kenit itu juga tidak diketahui dengan tepat kerana ketiadaan dokumentasi.

Ketika itu juga Ee Chia jatuh hati dan tertawan dengan kehidupan masyarakat Bajau Laut ini.

Beliau menyelami kepayahan hidup masyarakat Bajau Laut yang bukan sahaja rata-rata buta huruf tetapi kekurangan akses kepada bekalan air bersih dan elektrik walaupun bergelar status pribumi negeri Sabah.

Lebih memilukannya, dalam kelompok masyarakat ini, adalah sesuatu yang lazim bagi kanak-kanak mereka yang seawal usia lima tahun untuk meniru tabiat buruk, seperti menghisap rokok dan menghidu gam.

Oleh kerana kebanyakan mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Malaysia, maka adalah sukar bagi mereka untuk berkomunikasi dengan masyarakat lain, dan mencari pekerjaan.

Walaupun mereka hidup dalam sempadan Malaysia, sebahagian besar masyarakat Bajau Laut tidak mendapat taraf kerakyatan kerana kekurangan dokumentasi rasmi.

Ini menghalang mereka daripada menerima pendidikan sempurna, perlindungan undang-undang, dan kebajikan. Sesetengah daripada mereka menghuni di Pulau Omadal, manakala yang lain menduduki pulau-pulau berhampiran di luar pesisir pantai Semporna.

Dan ketika Ee Chia meninggalkan Pulau Omadal dan Semporna selepas aktiviti menyelamnya selesai, senyuman Ginara dan nasib kaum Bajau Laut sentiasa bermain dibenaknya.

Wanita itu bertekad untuk melakukan sesuatu yang positif untuk masyarakat berkenaan, walaupun ketika itu beliau sendiri tidak tahu apa mampu dilakukannya.

Hanya selepas dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 2015, Ee Chia mengasaskan bersama Iskul Sama Dilaut Omadal - projek komuniti yang menawarkan pendidikan asas kepada kanak-kanak Bajau Laut di Pulau Omadal.

Inisiatif ini bermula apabila beliau kembali ke Semporna untuk meneruskan program latihannya bersama Tabung Alam Sedunia (WWF-Malaysia) yang merupakan sebahagian daripada syarat untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam pentadbiran awam.

"Ketika itu, terlintas di fikiran saya untuk melakukan lebih banyak penyelidikan mengenai golongan ini, dan saya mahu menghasilkan tesis mengenai mereka," kata Ee Chia.

Tidak mahu ke sekolah

Ketika berkhidmat dengan WWF-Malaysia, Ee Chia menghadapi masalah berkomunikasi dengan masyarakat Bajau Laut kerana mereka hanya bercakap bahasa ibunda mereka.

Beliau kemudiannya berjumpa dengan Sakinas, seorang lagi gadis yang mampu bertutur dalam bahasa Bajau dan bahasa Malaysia dan Ee Chia memintanya menterjemahkan perbualannya.

Dengan bantuan Sakinas, Ee Chia bertanya kepada kanak-kanak Bajau Laut jika mereka mahu ke sekolah jika keadaan membenarkannya.

"Mereka kata tidak mahu ke sekolah, dan apabila saya tanya mengapa, mereka beritahu, mereka tidak pandai, tidak tahu membaca dan menulis, dan mereka malu akan diketawakan," kata Ee Chia.

Namun, kanak-kanak Bajau Laut itu memberitahunya, mereka bersedia untuk menimba ilmu jika diberikan peluang dan mahu menjadi seperti Sakinas.

Perbualan itu terus mencetuskan idea kepada Ee Chia supaya anak-anak yang belajar di sekolah kerajaan mencurahkan ilmu mereka kepada kanak-kanak Bajau Laut ini.

Mereka boleh mengajar rakan sebaya mereka asas bahasa Malaysia, matematik dan seni.

Ee Chia kemudian membawa idea itu kepada penganjurnya, di Semporna, Kak Roziah yang seterusnya bertanya kepada anaknya yang berusia 11 tahun dan anak jiran mereka yang berusia 14 tahun sama ada jika mereka sedia membantu.

Kedua-duanya berkata mereka sedia meluangkan masa untuk mengajar anak-anak Bajau Laut berhubung apa yang mereka pelajari.

Misi mencari

Selang beberapa mesyuarat dan perbincangan terbuka, keputusan dibuat untuk mengadakan kelas pada hujung minggu.

"Kami ingin memperkenalkan asas membaca kepada mereka. Tujuannya supaya mengajar mereka bercakap bahasa Malaysia, supaya kita boleh berkomunikasi.

"Mereka boleh belajar membaca dan menulis perkataan dan ayat yang mudah," kata Ee Chia.

Sekolah ini kemudiannnya mendapat bantuan empat ‘pelajar-guru’ termasuk Sakinas, yang mengajar kira-kira 21 kanak-kanak Bajau Laut.

Ketika rancangan penubuhan sekolahnya sedang dilaksanakan, Ee Chia memutuskan untuk mencari Ginara - anak gadis dengan senyuman menawan - yang ditemuinya pada tahun 2013.

Berbekalkan sekeping gambar gadis itu, beliau mencari di sekitar di Pulau Mabul, lokasi kali pertama mereka bertemu semasa expedisi menyelam pada 2013.

Beliau bernasib baik apabila diberitahu bahawa keluarga gadis itu telah berpindah ke Pulau Omadal.

Selepas mencari di Omadal, Ee Chia akhirnya berjaya menemui Ginara dan berkesempatan berkenalan sekali lagi dengan keluarganya.

Eee Chia juga tidak melepaskan peluang itu untuk mempelawa gadis itu dan adik-beradiknya untuk menyertai sekolah baru berkenaan.

Ginara kini tekun menghadiri Iskul Sama Dilaut Omadal pada hujung minggu dan belajar membaca dan menulis.

Mampu membaca akhirnya

Apabila sekolah itu beroperasi sepenuhnya pada bulan Ogos, Ee Chia terpaksa meninggalkan Semporna untuk meneruskan pengajian ijazah sarjana dan tidak dapat terlibat secara langsung dalam operasinya.

Sebaliknya, beliau meneruskan usaha dengan mencari dana bagi menampung elaun kepada guru, membeli alat tulis, dan menyediakan makan tengahari kepada pelajar yang hadir pada setiap hujung minggu.

"Saya fikir dalam masa beberapa hari sahaja, saya berjaya mengumpulkan wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan setahun.

Sebenarnya, jumlah itu tidak sebesar mana. Hanya RM500 sebulan, jadi kita hanya perlu RM6,000 (setahun)," kata Ee Chia.

Beliau juga mengamanahkan bekas rakan sekerja di WWF-Malaysia, Hui Ling untuk mengagihkan dana ke sekolah itu setiap bulan, dan melantik Kak Roziah sebagai guru besar yang bertanggungjawab terhadap segala urusan sekolah.

Dua bekas rakan sekerja daripada WWF-Malaysia, Adzmin dan Shaffiyah, juga membantunya memantau dan membantu sekolah itu.

Mereka akan mengadakan mesyuarat bulanan melalui internet dari Semporna untuk mengemaskini Ee Chia mengenai keadaan sekolah, dan membincangkan apa yang diperlukan.

Apabila Ee Chia menamatkan pengajiannya pada 2016, beliau dan Hui Ling kembali ke Pulau Omadal pada September tahun lalu untuk menjalankan penilaian ke atas perkembangan sekolah.

"Kami menemu bual pelajar dan guru, kami adakan perbincangan kumpulan fokus dengan pelajar-pelajar.

"Kami tanya apa yang mereka suka tentang sekolah dan apa yang mereka pelajari. Kami benar-benar ingin tahu sama ada sekolah ini berguna untuk mereka," kata Ee Chia.

Selepas setahun beroperasi, hasilnya - 50 peratus daripada anak-anak ini boleh menulis, 70 peratus mampu menulis nama masing-masing dan 20 peratus dapat mengira.

"Setahun yang lalu adalah satu percubaan, kami serahkan segala-galanya kepada guru-guru muda kami untuk melihat bagaimana mereka mengajar, untuk melihat jika projek ini berjaya atau tidak," katanya.

Mereka kini merancang untuk membuat penambahbaikan kepada sekolah - infrastruktur dan juga kurikulumnya.

Belajar di bawah bumbung langit

Mereka juga sedang mengumpul dana lagi untuk membina sebuah pondok untuk kanak-kanak itu belajar memandangkan sebelum ini tidak ada kelas atau tempat yang tetap mereka belajar.

Kelas kadang-kadang diadakan di dewan umum, di dapur guru, atau di hadapan rumah pelajar, asalkan mereka tidak berpanas atau basah kerana hujan.

Terdapat juga rancangan untuk mempertingkatkan kemahiran guru.

"Sekarang kita mempunyai seorang guru sekolah yang akan menjadi antara penasihat kami yang akan membantu memperbaiki modul untuk pelajar-guru sekolah.

"Kami juga mempunyai program guru sukarelawan di mana kami akan menjemput pakar untuk membantu melatih guru muda ini mengajar dengan lebih baik.

"Kami merancang untuk menjemput lebih ramai penceramah, tetapi untuk berbuat demikian kita perlu membina sebuah pondok terlebih dahulu," kata Ee Chia.

Memandangkan Ee Chia telah berjaya mendapatkan ijazah sarjana, beliau merancang untuk menghabiskan lebih banyak masa dan usaha untuk meningkatkan mutu sekolah dan membantu kanak-kanak ini.

Iskul Sama Dilaut Omadal sedang mengumpulkan dana dan mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk penambahbaikan sekolah itu.

Sebelum ini, sumbangan juga diterima dalam bentuk barangan, seperti buku, alat tulis, bekas makanan, dan beg.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Iskul Sama Dilaut Omadal dan menderma kepada sekolah itu, sila layari laman Facebook atau laman web mereka.

www.facebook.com/iskulsamadilautomadal/ (Facebook)

www.Iskul.my (laman web)

Lihat Komen
ADS