Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan bertindak sebagai "orang tengah" bagi mendengar hujah-hujah pegawai jawatankuasa tatatertib Universiti Teknologi Mara dan pelajar yang dipecat bulan lalu pada Khamis ini.
Pesuruhjayanya Profesor Hamdan Adnan memberitahu malaysiakini selepas mesyuarat Suhakam sebentar tadi, pertemuan tiga pihak itu akan bermula jam 10 pagi di pejabat suruhanjaya itu di Jalan Raja Laut.
Selain Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan beliau, beberapa orang lagi pesuruhjaya Suhakam turut menyertai pertemuan itu yang diadakan secara tertutup.
Pelajar jurusan kejuruteraan elektrik, Rafzan Ramli, dipecat serta-merta selepas didapati bersalah terlibat dalam perhimpunan haram bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di depan Masjid Negara pada 8 Jun.
Beliau, dan lima lagi pelajar, ditahan hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan dibebaskan dengan jaminan polis. Setakat ini, mereka tidak didakwa di mahkamah.
Rafzan menghantar memorandum kepada badan hak asasi itu sehari selepas disingkirkan dan beliau kini sedang menunggu jawapan rayuannya daripada Kementerian Pendidikan.
Memorandum itu antara lain menggesa: Suhakam menyiasat perbicaraan tatatertib itu yang didakwa tidak adil dan tidak bebas, dan juga memohon UiTM membatalkan keputusan memecat Rafzan yang dianggap tidak demokratik.
Ditanya pandangan Suhakam tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Anuar berkata pihaknya masih mengkaji akta itu kerana aduan itu baru diterima Sabtu lalu.
Tiga puluh wakil daripada gabungan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) menemui Anuar kira-kira dua jam minggu lalu berhubung akta itu dan juga kebebasan akademik di kalangan pensyarah.
GMMI menggesa beberapa peruntukan Auku - yang dianggap bercanggah dengan hak-hak asasi - dikaji semual dan dimansuhkan.
Seksyen-seksyen 7 dan 11 melarang pelajar atau pertubuhan pelajar berhimpun atau menganjurkan perhimpunan seramai lebih daripada lima orang dan menjalankan sebarang kegiatan di luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.
Menurut seksyen 15 (3) dan (4) pula, pelajar dan pertubuhan pelajar dilarang menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap sebarang parti politik, kesatuan sekerja atau badan-badan lain.
Sementara seksyen-seksyen 10 dan13 menyebutkan pelajar atau pertubuhan pelajar dilarang membuat rayuan atau apa-apa hubungan dengan pihak akhbar atau orang ramai berkaitan hal-ehwal universiti. Akta itu juga melarang pelajar menerbitkan atau mengedar dokumen di dalam atau luar kampus kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.
Mereka juga menggesa Suhakam mengkaji pencabulan hak asasi terhadap kakitangan akademik di universiti-universiti tempatan.
"Kakitangan ini tidak boleh membuat kenyataan mengenai sebarang isu yang dianggap berbau politik atau kontroversi, membuat kenyataan terbuka kepada media, menerbit tulisan sendiri, menyatakan sokongan kepada parti-parti politik," memorandum itu dipetik.
"Ahli akademik juga dihalang membuat sebarang kritikan terhadap dasar dan pendirian universiti terhadap sesuatu isu."
