Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Sehari dua ini sibuk dan riuh polemik jawatan timbalan perdana menteri.

Bermula dengan laporan media memetik kenyataan Tun Dr Mahathir di luar konteks dan menganggap DAP meminta jawatan timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan dan BERSATU memenangi PRU14 akan datang.

Kemudian dijelaskan oleh Dr Mahathir dengan bukti jelas bahawa MCA yang sebenarnya meminta jawatan tersebut.

dap national congress 041216 delegatesHari ini Setiausaha Akhbar Perdana Menteri meminta pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengakui impiannya untuk menjadi timbalan perdana menteri dan mencadangkan beliau membuat Akuan Bersumpah untuk menafikannya.

Semakin pelik dan gila politik perkauman yang dimainkan oleh Umno/BN sehari dua ini.

Apa salahnya jika DAP mengimpikan menjadi tmbalan perdana menteri? Menjadi perdana menteri pun bukan suatu kesalahan malah tidak dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan tidak pernah mensyaratkan bahawa seorang perdana menteri hendaklah seorang Melayu Islam. Tidak ada di dalam perlembagaan peruntukkan sedemikian.

Perkenan Agong

Perlembagaan Persekutuan hanya mensyaratkan seseorang yang hendak menjadi perdana menteri mestilah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan. Itu sahaja.

Tidak ada peruntukkan mesti seorang berbangsa Melayu beragama Islam.

Paling menarik, jawatan timbalan perdana Menteri yang diriuhkan sehari dua ini tidak pun diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jawatan timbalan perdana menteri hanya lantikan perdana menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Tidak ada timbalan perdana menteri pun tidak menjadi suatu kesalahan.

Menjadi kesalahan hanya kerana ia tidak mengikut kehendak Umno/BN yang merupakan parti perkauman dan cauvinis.

Kenapa dipolemikkan DAP meminta jawatan timbalan perdana menteri?

Jawapannya mudah iaitu hendak menakut-nakutkan orang melayu. Habislah orang Melayu jika DAP menjadi timbalan perdana menteri. Habislah agama Islam jika DAP menjadi timbalan perdana menteri.

Semua persepsi negatif tersebut sengaja dicipta untuk memburuk-burukkan DAP semata-mata.

Tiada Melayu merempat

Sudah hampir 10 tahun DAP menerajui kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Lim Guan Eng selaku ketua menteri.

Habis ke Melayu di Pulau Pinang?

Habis ke Islam Pulau Pinang?

Melayu di Pulau Pinang terus dibela sama seperti bangsa lain. Islam di Pulau Pinang terus mendapat tempat sesuai dengan statusnya sebagai agama Persekutuan.

Tiada Melayu dihalau, tiada Melayu dianaktirikan, tiada Melayu merempat kerana DAP mentadbir.

Tiada Islam dipinggirkan, tidak Islam dihalang, tiada masjid, surau diroboh, tiada kuliah agama dilarang dan dihentikan, tiada ustaz dan penceramah bebas ditangkap dan didakwa seperti negeri-negeri lain.

DAP di Pulau Pinang bukan pengikut atau ‘Pak Turut’ tetapi memimpin bersama rakan-rakan lain yang bersama membuat dasar dan keputusan untuk seluruh warga Pulau Pinang.

Jika menjadi peneraju pun DAP tidak mengabaikan malah membela nasib masyarakat, kenapa bermasalah sangat jika benar DAP hendak menjadi timbalan perdana menteri bersama rakan-rakan lain?

DAP bukan Cina sahaja.

DAP bukan seperti Umno yang mewakili Melayu sahaja.

DAP bukan seperti MCA yang hanya mewakili Cina.

DAP bukan seperti MIC yang hanya mewakili kaum India.

DAP mewakili semua bangsa dan agama. Aku Melayu dan aku DAP.

DAP terus berjuang untuk rakyat Malaysia.


ZULHAZMI SHARIFF adalah Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah. 

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS