Parti Rakyat Malaysia hari ini mencadangkan dua pendekatan tambahan untuk menyelesaikan perbalahan terbuka dan "tidak terkawal" dua tokoh utama PAS dan DAP berhubung isu negara Islam sejak seminggu lalu.
Presiden PRM Dr Syed Husin Ali berkata jika ada parti dalam Barisan Alternatif berhasrat meninggalkan pakatan itu atau berpendapat sesebuah anggotanya harus keluar, perkara itu harus "dibincangkan secara strategik dengan semangat persahabatan serta setiakawan."
Beliau juga mensyaratkan PAS memberikan "ikrar mulai sekarang" untuk melaksanakan manifesto bersama BA jika parti Islam itu memenangi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
"Seandainya PAS memenangi majoriti dua pertiga, ia tidak akan menegakkan negara Islam secara paksa, sebaliknya akan mendapatkan persetujuan rakyat terbanyak dengan mengadakan pungutan suara," tambah Dr Syed Husin lagi.
Selain dua cadangan baru itu, beliau turut mengulangi dua saranan Parti Keadilan Nasional semalam agar Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh tidak membuat kenyataan kepada media dan sedia berbincang lanjut bagi mengukuhkan lagi perpaduan antara empat parti itu.
Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar turut menyarankan semua parti komponen BA mempertimbangkan secara serius "cadangan konkrit" parti itu bagi menyelesaikan perbezaan ideologi antara dua parti itu.
Bagaimanapun Karpal hari ini tidak sedia membincangkan isu negara Islam dalam pertemuan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang walau beliau mengalu-alukan cadangan Keadilan itu.
"Kalau tidak, tindakan itu (perbincangan pemimpin tertinggi BA) hanya sia-sia," katanya dalam kenyataan kepada malaysiakini .
"Sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk untuk menubuhkan negara Islam akan ditentang keras-kerasnya dengan alasan mudah usaha seumpama itu bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan secara khusus sebuah negara sekular."
Rakyat syak kewibawaan BA
Karpal menegaskan, DAP tidak akan bertolak ansur terhadap negara Islam sama ada idea tersebut datang daripada PAS atau Umno.
Barisan Alternatif mengadakan pertemuan peringkat tertinggi setiap bulan dan dianggotai oleh presiden dan setiausaha agung empat parti itu.
Dr Chandra, ketika dihubungi malaysiakini , enggan mengulas lanjut. "Cukuplah, kita tidak mahu (kenyataan) serang-menyerang di media."
Ditanya "cadangan konkrit" yang beliau maksudkan semalam, Dr Chandra berkata perkata itu akan dikemukakan dalam pertemuan pimpinan BA nanti.
"Pendekatan perundingan (kali ini) berbeza," katanya.
Pemimpin PRM itu berkata isu negara Islam yang berbangkit antara DAP dan PAS telah menguntungkan Barisan Nasional dan "rakyat yang tidak mempercayai parti kerajaan itu syak terhadap kebolehan serta kewibawaan BA untuk memerintah."
"Akhirnya, sokongan untuk BA dan juga parti-parti di dalamnya akan bertambah merosot," kata Dr Syed Husin lagi.
Beliau menambah dua pertemuan pada bulan lalu tidak begitu mendalam dan "belum berjaya menimbulkan kata sepakat."
PRM juga menegur sikap Abdul Hadi dan Karpal yang masih membangkitkan isu itu.
"Kami kurang faham mengapa soal negara Islam ini terus-menerus ditimbulkan oleh sesetengah pihak dalam PAS," kata Dr Syed Husin.
"Kami juga berasa tidak senang kerana ada di kalangan pemimpin DAP yang menyerang PAS, seolah-olah merekalah (pemimpin PAS tertentu) yang menjadi musuh utama (DAP) dan bukan BN."
