Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat M'sia maut dalam serangan ke atas militan di Filipina
Diterbitkan:  Jan 28, 2017 3:47 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Seorang rakyat Malaysia, yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS), dipercayai terbunuh selepas tentera Filipina melancarkan serangan udara dan darat di Selatan Filipina.

Associated Press (AP) melaporkan operasi pengeboman mengorbankan sekurang-kurangnya empat militan, termasuk rakyat Malaysia. Bagaimanapun identiti rakyat Malaysia itu masih belum dikenal pasti.

Serangan juga dilaporkan mencederakan sasaran utama pemimpin kumpulan itu, Isnilon Hapilon yang dipercayai cuba mewujudkan sebuah pengkalan baru untuk kumpulan yang menyokong IS.

Hapilon, bagaimanapun, berjaya melarikan diri dari lokasi di bandar Butig di wilayah selatan, Lanao del Sur, Mindanao.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, mengesahkan kepada AP bahawa pasukan tentera itu masih giat dalam misi pemburuan mereka.

Serangan udara mula mensasarkan kumpulan Hapilon pada Rabu dan Khamis lalu, sebelum tentera melancarkan ratusan tembakan meriam terhadap militan di Butig, kata ketua angkatan tentera Eduardo Ano.

Hapilon telah berpindah ke Butig dari kubu kuatnya di selatan pulau Basilian untuk mencari pangkalan baru bagi perikatan militan terbarunya.

Bekas komander Abu Sayyaf yang disenarai oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai pengganas paling dikehendaki - dengan ganjaran sehingga AS$ 5 juta (RM21.16 juta) untuk menangkapnya itu- telah berikrar untuk setia kepada kumpulan IS pada tahun 2014.

Selain rakyat Malaysia yang terbunuh, seorang lagi rakyat Malaysia yang didakwa sebahagian daripada anggota kumpulan IS juga terkorban semasa pertempuran di Syria awal bulan ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay telah mengesahkan Zainuri Kamaruddin, 50, yang lebih dikenali sebagai Abu Talha antara tiga rakyat Malaysia yang terkorban dalam serangan itu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS