Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN “Rio Fermoso” adalah sebutan nama bagi Sungai Batu Pahat di daerah Batu Pahat dalam bahasa Portugis. Ia tercatat dalam peta dan catatan Portugis kurun ke-16 atau sekitar 500 tahun lalu.

Sesetengah jurnal boleh ditemui dalam talian dan mudah dimuat turun, malah dialih bahasa ke Bahasa Inggeris. Nama ini tidak ada kena mengena dengan Rio de Janeiro, Brazil.

Saya sangat hairan kerana hanya saya sahaja yang tahu dan tiadakah pengkaji atau persatuan sejarah atau mana-mana pemimpin di Batu Pahat atau di Johor tahu perkara ini? Atau mungkin sudah ada kajian tetapi tidak diuar-uarkan.

Semua orang tahu Batu Pahat terkenal dengan makanan yang enak seperti beriani gam dan asam pedas Batu Pahat.

Begitu juga Telaga Batu Pahat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), kerepek, kuda kepang dan kisah keperwiraan Panglima Salleh dan kepintaran Dato Onn Jaafar yang mengamankan Batu Pahat daripada ancaman tentera bintang tiga yang mengganas antara tahun 1945 hingga 1946.

Batu Acheh

Kenapa selepas lawatan tinjauan dan penyelidikan awal Jabatan Warisan Negara (JWN) pada 19 Januari 2017 ke tapak dipercayai arkeologi darat di bukit di Pantai Rekreasi Minyak Beku dan makam Batu Acheh di Bukit Inas, Sri Medan, media yang bersama kami tidak menyiarkan berita berkenaan penemuan “besar” ini?

Bukankah dengan memberitahu masyarakat dunia akan menyebabkan ramai pengkaji berkongsi maklumat mereka.

Walaupun mungkin batu dipahat yang dijumpai di atas bukit di Tanjung Telaga, Pantai Minyak Beku akan disimpulkan oleh JWN dikatakan “masih baru”, ia membuatkan saya dan rakan-rakan tidak putus asa untuk lebih banyak turun ke lapangan.

Selama ini banyak tinggalan sejarah penting telah diabaikan di Batu Pahat dan diancam dengan pembangunan tanah.

Antaranya kewujudan sepuluh Batu Acheh berusia di antara 400 hingga 500 tahun di sepanjang Sungai Simpang Kiri dalam Parlimen Parit Sulong dalam Daerah Batu Pahat.

Papan tanda tanah wakaf pun tidak ada di sepuluh makam Batu Acheh Batu Pahat ini dan lokasi makam Batu Acheh dikelilingi kebun kelapa sawit milik persendirian!

Tidak mustahil warisan sejarah Johor ini akan dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Drs Kamarudin Abd Razak, timbalan pengarah Yayasan Warisan Johor ada merekodkan penemuan sepuluh Batu Acheh di Batu Pahat dan bukunya bertajuk Batu Aceh: Warisan Sejarah Johor (1999) terbitan Yayasan Warisan Johor.

Dengan membaca buku beliau, saya berjaya berjejak sembilan daripada sepuluh Batu Acheh di Batu Pahat.

Yang menghairankan, siapakah pemilik makam yang ditanda Batu Acheh yang telah wujud di pesisir Rio Fermoso sejak 400 hingga 500 tahun lalu?

Salah satu pemilik makam Batu Acheh yang ditanda INAS5 dipercayai makam Tun Mamat, pembesar Melaka yang bersama Laksamana Hang Tuah pergi meminang Puteri Gunung Ledang.

Makam Bukit Inas yang bersejarah itu dijaga rapi oleh Salleh Wak Dakam tanpa bantuan kerajaan. Kenapa saya sahaja yang tahu?

Peta Portugis kurun ke-16

Saya mengetahui perkataan Rio Fermoso ini secara tidak sengaja setelah membuat carian di laman sesawang dan menjumpai nama Rio Formoso, Rio Fermoso, Rio Formeso atau Fermozo di peta Portugis, Belanda yang kedudukan sungai ini di selatan Melaka dan Sungai Muar.

Di manakah lokasi sebenarnya Rio Fermoso dan kenapa tiada sesiapa pernah merungkai kenapa Rio Fermoso “dihilangkan” daripada peta walaupun ia pasti dikenali sejak 500 tahun lalu?

Malah Tom Pires mencatatkan nama Rio Fermoso dalam peta! Rio Fermoso dikatakan pernah menjadi sumber import padi bagi Melaka pada masa silam. Kenapa saya sahaja yang tahu?

Apa yang memeranjatkan saya apabila wujud nama Rio Fermoso dalam satu jurnal yang bertajuk A journey on the Sembrong River: from Kuala Indau to Batu Pahat oleh HW Lake dan HJ Kensall yang diterbitkan dalam Journal of the Straits Branch of The Royal Asiatic Society pada Januari 1894 dan dibentang pada Februari 1894 di Royal Geographical Society of London.

Rupanya Dato Bentara Luar Dato’ Muhamad Salleh Perang pernah melalui laluan Sungai Batu Pahat ini pada 1874 dan dibentangkan di Adelaide’s Jubilee Exhibition pada tahun 1887.

Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1 Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh Perang sendiri apabila beliau dilantik sebagai wakil raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi pesuruhjaya kerajaan.

Tetapi kenapa selepas pembukaan rasmi Batu Pahat, nama Rio Fermoso “dihilangkan”? Kenapa saya sahaja yang tahu?

Hikayat Malim Dagang

Dalam Hikayat Malim Dagang, syair pengisahan Aceh yang masyhur di zaman Ratu Safiatuddin (1645 masihi) menyebut Raja Siujud sembunyi di Hutan Banang dan berlaku peperangan dahsyat di Kuala Laot Banang.

Walaupun tidak pasti sama ada wujud kajian berkaitan peperangan berkenaan yang dipercayai berlaku pada kurun ke-17. Lokasi peperangan dipercayai di perairan Minyak Beku.

Logiknya kawasan peperangan Laot Banang berlaku di sini kerana geografi Gunung Banang berhampiran dengan pantai rekreasi Minyak Beku dan boleh dilihat jelas daripada Kuala Sungai Batu Pahat.

Hari ini jika anda memandu melalui Jalan Minyak Beku ke Pantai rekreasi Minyak Beku, kelihatan Gunung Banang semakin diancam dengan kewujudan beberapa projek lombong kuari berlesen.

Kehijauan hutan banang sedang diganti dengan warna kemerahan kesan lombong kuari. Selain itu, Kuala Sungai Batu Pahat sedang diancam oleh lima kandang penternakan babi. Kenapa saya sahaja yang tahu?

Nama Gunung Banang juga disebut dalam lagu Pahang yang masyhur bertajuk “Walinongsari” yang berbunyi:

“Walinong la yang sari
puteri yang cantik
datangnya dari puncak gunung Tahan
puncak gunung Ledang, gununglah Banang”

Kenapa saya sahaja yang tahu?

Semalam 1 Februari 2017, cukuplah sebulan saya bersama Shaharudin (pendaki gunung), Omar Bachok (ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Negeri Johor) dan Anwar (pembantu pendaki gunung) ke puncak sebuah bukit di hujung pantai rekreasi Minyak Beku, Batu Pahat, Johor.

Di situ kami menjumpai kesan batu di pahat dan kedudukan bukit tersebut yang sesuai menjadi peninjau dan ia mungkin sebagai “batu asas” penemuan lebih banyak arkeologi darat dan laut di sekitar Pantai Rekreasi Minyak Beku, Batu Pahat, Johor.

Selama ini kewujudan binaan lama seperti bekas pejabat dan jeti lama pernah disiar oleh media dipercayai milik Jepun dan kubur lama diketahui penduduk tempatan.

Sekadar itu dan ia binaan baru dan pantai rekreasi ini hanya dikunjungi penduduk tempatan sama ada melihat pantai atau melawat Perigi Batu Pahat.

Sejak 1 Januari 2017 hingga hari ini saya sentiasa berkongsi apa sahaja petunjuk berkaitan Rio Fermoso di Facebook saya. Selain menulis surat rasmi kepada pesuruhjaya warisan negara dan berhubung sendiri dengan Drs Kamarudin Abd Razak bagi menjejak lebih banyak warisan sejarah Johor.

Saya juga telah membuat satu laporan polis pada 15 Januari 2017 bagi memaklumkan saya dan tiga rakan lain telah menjumpai “Sejarah Batu Pahat” yang sudah terkenal sejak ratusan tahun lampau dan meminta tindakan lanjut pesuruhjaya warisan negara, Yayasan Warisan Johor, exco warisan Johor, Persatuan Sejarah Negeri Johor, Persatuan Sejarah Daerah Batu Pahat.

Ia juga bagi mengelakkan pencari harta karun mendekati Rio Fermoso.

Insya-Allah, saya akan wacanakan penemuan “Rio Fermoso” dan menjemput lebih ramai sarjana tempatan mahupun luar negara mengkaji “Rio Fermoso”.

Kepakaran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) perlu memandangkan negara kita masih kekurangan kepakaran dan teknologi bagi merungkai banyak perkara yang pernah berlaku di Rio Fermoso ratusan tahun lampau.

Catatan berkaitan Rio Fermoso tentunya berada di seluruh dunia dalam pelbagai bahasa dan perlu disimpan di Batu Pahat dan diketahui oleh seluruh penduduk Batu Pahat, Johor dan Malaysia.

Rio Fermoso sangat signifikan dengan sejarah kesultanan Melaka, Aceh, kerajaan Johor dan Portugis di masa lampau.

Penduduk Minyak Beku dan sekitar Batu Pahat tentu terkejut Rio Fermoso telah dikenali sehingga dicatat dalam peta Portugis dan kuasa Eropah lain yang pernah sampai ke sini.

Antara auta atau fakta, penemuan ini perlu dibukti secara saintifik dan kajian bertulis untuk rujukan generasi akan datang.

“Penemuan” Rio Fermoso bukan sekadar ilusi saya. Tapi ia bakal mengubah wajah daerah Batu Pahat di mata dunia.


MOHD AZLAN SHARIF aktivis masyarakat yang pernah dicalon untuk Anugerah Belia Perdana peringkat Johor pada 2011 dan 2012 kategori aktivis sosial mewakili Daerah Batu Pahat.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS