Paling Popular
Terkini

ULASAN Sejurus selepas Donald Trump masuk ke pejabat presiden di Washington, satu perintah eksekutif dikeluarkan melarang kedatangan orang Islam dari tujuh negara majoriti Muslim. Perintah larangan masuk berkuatkuasa selama 120 hari atas alasan memelihara keselamatan Amerika.

Tindakan tersebut tidak mengejutkan kerana dalam kempen Trump, ahli korporat bertukar ahli politik itu sudahpun menyebut tentang polisi sekatan dan larangan 'orang luar' khususnya ke atas Muslim bagi menjaga kepentingan dan keselamatan Amerika. Dasar 'America First' menjadi keutamaan dan itulah janji yang ingin ditunaikan melalui perintah eksekutif ini.

Reaksi larangan amat menarik kerana sebuah masyarakat yang terbuka dan amat mengambil berat soal kemanusiaan seperti Amerika, sukar menerima larangan dan sekatan Muslim masuk Amerika. Rakyat Amerika yang Muslim lebih sukar menerimanya kerana penangan dasar ini telahpun memangsakan beratus anggota keluarga yang tersangkut di imigresen di lapangan terbang utama Amerika.

Peguam Negara Amerika mengeluarkan arahan bahawa perintah Presiden Trump bercanggah dengan perundangan. Sebahagian rakyat Amerika berhimpun di lapangan terbang utama membantah dengan membawa slogan ' Muslim dan Pelarian diAlukan', 'Trump Rasis' dan 'Saya tidak Menyokong Trump'. Ramai yang keluar memberi sokongan kepada mangsa sekatan Muslim masuk Amerika sebagai solidariti kepada mangsa.

Rumusan kepada fenomena ini membawa kepada persoalan yang lebih besar:

1. Mampukah Trump berkompromi antara manifesto radikalnya dengan realiti yang akan dihadapinya?

2. Apakah budaya sebuah masyarakat yang mengimani dasar keterbukaan dan semangat kemanusiaan yang tingggi mudah dicabar dengan dasar politik yang tertutup dan sempit?

3. Adakah Trump mahu menguji kesabaran dunia Islam dan mengapikan puak pelampau Islam bagi mencetuskan gelombang keganasan di halaman rumah rakyat Amerika? Adakah tindakan ini sebagai umpan mengiyakan Islam sebagai agama keganasan?

4. Sejauhmanakah rakyat Amerika boleh membuktikan bahawa budaya masyarakanya yang bebas dari pedoman rasis dan prejudis itu lebih besar dari tindakan politik Pejabat Presiden?

Setakat beberapa hari ini, sebahagian masyarakat Amerika tetap konsisten dengan penolakan dendangan rasis dan prejudis Trump. Mereka mempertahankan keterbukaan dan menganggap arahan eksekutif Trump tidak dapat diterima oleh mereka.

Dalam keadaan ini, umat Islam harus bijak memahami bahawa bukan semua orang Amerika membenci Muslim, hanya tindakan pihak berkuasa dan ia tidak semesti mewakili kehendak rakyat semuanya.

Jalan kemanusiaan adalah terowong antara warga dunia bertemu harapan dan mencari penyelesaian. Orang Islam harus bijak membina terowong kemanusiaan ini malah ianya tidak sukar kerana Islam adalah kemanusiaan.

Asas hubungan kemanusiaan adalah bebas prejudis dan bebas perkauman dan ia memerlukan tindakan dua hala untuk mempertahankannya. Umat Islam harus jujur pada satu hujung yang lain untuk mempertahankan bukan Islam atas prinsip kemanusiaan seperti kebebasan dan keadilan di mana hak mereka ditindas di negara majoriti umat Islam.

Amat mengharukan apabila sebahagian anggota masyarakat di Amerika menghulurkan tangan kepada mangsa Muslim bagi mendahulukan kemanusiaan lebih daripada semangat patriotik presiden mereka. Jalur kemanusiaan harus dilebarkan juga di dalam negara umat Islam agar perkauman sempit dan fahaman agama sempit dapat dikalahkan. Hanya penguasa yang berteraskan Islam Rahmatan Lil Alamin di negara umat Islam, timbal-balik kemanusiaan dapat diimbangkan dan dunia akan menjadi lebih baik apabila budaya ini menguasai keadaan.


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA adalah ahli Parlimen Malaysia dan naib presiden Parti Amanah Negara. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan sikap Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS