Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
SPRM siasat Annuar selama 4 jam
Diterbitkan:  Feb 3, 2017 2:36 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang digantung tugas, Tan Sri Annuar Musa disoalsiasat selama empat jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana.

Menurut Star Online, Ketua Penerangan Umno itu tersenyum lebar ketika bertemu pemberita di luar bangunan itu pada kira-kira jam 1 tengah hari.

Annuar berkata beliau hadir ke pejabat SPRM kerana merasa bertanggungjawab untuk membantu siasatan.

"Apa saja yang mereka tanya, saya jawab. Jadi kini terpulang kepada mereka jika mereka mendapati ada kes atau tidak," beliau dipetik sebagai berkata.

Katanya, soalan ditanya menjurus mengenai perbelanjaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan tidak menolak kemungkinan akan dipanggil untuk disoal lagi.

"Saya bersedia bila-bila masa, jika mereka perlu menyoal saya lagi," katanya.

Mengenai kedudukannya dalam Umno, Annuar berkata, beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu.

"Ini tidak ada kena mengena dengan PM atau parti. Ini adalah kes saya dengan SPRM, jadi biarlah saya uruskan ini sendiri," katanya.

Annuar juga menegaskan bahawa siasatan SPRM tidak akan membantut usahanya untuk merebut jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Ada beberapa kriteria yang membatalkan anda daripada bertanding jawatan presiden FAM, termasuk muflis. Disiasat oleh SPRM, bagaimanapun, bukan salah satu daripada nya," katanya.

Pada 31 Januari, Annuar digantung jawatan sebagai pengerusi MARA dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd berkuatkuasa serta merta.

Penggantungan itu bagi memudahkan siasatan terhadap dakwaan bahawa Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menaja pasukan bola sepak Kelantan yang dikaitkan dengan Annuar.

Pada 12 Januari, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuduh Annuar menggunakan kedudukannya dalam MARA dan UniKL untuk mendapatkan penajaan bagi pasukan Kelantan.

Tunku Ismail juga mendedahkan beberapa dokumen yang memperincikan urus niaga tersebut dan menyatakan penajaan itu merupakan sebab UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa untuk pelajar sebanyak RM700 juta tahun lepas.

Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), menafikan dakwaan tersebut.

 

 

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS