Siasatan Annuar Musa: SPRM rakam 9 individu

   

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan sembilan individu termasuk Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap beliau.

Annuar kini digantung jawatan sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).

Penggantungan jawatan Annuar yang dibuat pada mesyuarat khas Ahli Majlis Mara Selasa lepas, bagi membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

Susulan itu, SPRM pada hari sama mengesahkan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Annuar.

Menurut sumber SPRM, setakat ini pasukan penyiasat sedang berusaha mengumpul lebih banyak maklumat berkaitan yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

"SPRM kini dalam proses meneliti dan mengkaji dokumen dan invois yang dirampas sebelum ini melibatkan siasatan kes ini," kata sumber itu.

Bagaimanapun, sumber itu berkata tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara tersebut namun enggan menggulas lanjut.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda