Paling Popular
Terkini

ULASAN l Istilah ayam dalam pemikiran Melayu biasanya merujuk kepada sesuatu yang bersifat lemah, "koman", buruk atau sebagainya. Ia juga merujuk kepada alat atau suruhan, seperti pepatah Melayu yang menyebutkan ayam tambatan, ayam daging dan cakar ayam.

Ungkapan "bapa ayam" pula menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab kepada amanah yang diberikan, manakala "anak ayam" merujuk kepada pengikut yang mentaati apa saja arahan dan perlakuan ketuanya.

Hilang bapa dan ibu ayam, hilang arahlah anak-anak ayam mencari jalan kehidupan.

Orang Melayu dulu dibesarkan dengan ayam. Di sekeliling rumahnya ada ayam. Jika bukan ayam sendiri tentu ayam jiran yang datang bertandang mencakar-cakar mencari makan.

Ada reban di belakang rumah. Setiap menjelang hari kebesaran, kami berkejaran menangkap ayam untuk disembelih.

Ayam yang dikejar akan lari ke sekeliling kampung. Sesekali terbang ke dahan rendah. Ayam kampung, begitulah gayanya.

Tetapi budaya orang Melayu semakin terhakis oleh pemodenan. Seakan-akan hilang sudah peradaban dan budi berbahasa terutama saat menulis di media internet.

Bagai wabak merosakkan kebijaksanaan dan kerukunan orang Melayu bersosial. Bagai keris bisa tidak bersarung, melilau mencari mangsa.

Orang Melayu sekarang kenal ayam togel di peti ais pasar raya. Tiada berbulu lagi. Peribahasa carik-carik bulu ayam seperti sudah tiada maknanya!

Walaupun ada yang memberi makna baik seperti "ayam kampung" yang merujuk sifat hebat, secara keseluruhan ia masih cenderung memberi makna kurang baik.

Di sebalik cara orang lain melihat dari sudut keburukan, wajar juga kita membuka pemikiran yang lebih luas. Usah bertempurung terlalu lama dengan pemikiran kolot dan jumud.

Hal-hal ini dapat dilakukan dengan belajar melalui falsafah. Belajar falsafah memang menjemukan. Tetapi itulah jalan untuk menemukan makrifah. Bukan menjadi ahli falsafah apabila belajar falsafah.

Falsafah adalah asas kepada sudut pandangan alam seseorang.

Ahli falsafah tempatan, Syed Naquib Al-Attas adalah salah seorang sarjana yang berjaya menongkah pemikiran orentalis yang membentuk disiplin ilmu.

Beliau menggunakan pemikiran Melayu bagi menemui budaya dan makna Melayu itu sendiri.

Syed Naquib melukis khat "basmallah" berbentuk ayam jantan. Ia dilukis dalam bukunya "Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu" yang juga syarahannya di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1972.

Disisipkan sebuah syairnya yang berbunyi:
Ayam jantan unggas dinihari
Nadanya nyaring menyambut ketibaan hari
Dia simbol bagi matahari.

Ayam jantan adalah petanda dan suara perubahan waktu dari malam menuju siang. Ia adalah suara perubahan. Suara yang mengajak bekerja.

Usah bermimpi atau berangan. Suara ayam di pagi hari adalah suara kebangkitan. Itu laungan alam mengajak mengisi makna siang.

Susuk tubuh Syed Naquib memang kurang dikenali sesetengah pemain politik atasan dan juga pencandu politik bawahan. Tetapi idea dan namanya bukan sekadar tersohor di dunia, secara diam-diam pemikiran beliau mengakar dalam sistem kehidupan kita.

Syarahan itu membincangkan tentang peranan Islam dalam peradaban sejarah Melayu-Indonesia dan kesannya dalam sejarah pemikiran, bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Syarahannya berkenaan menolak tesis-tesis tentang Melayu sebelum ini. Ia menemukan jati diri masyarakat Melayu dengan Islam yang tidak lekang daripada kekuatan budi, budaya dan bahasanya sendiri.

Inilah yang dipesan-pesan oleh nenek moyang kita dengan pantunnya:
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Lanjutan idea ini adalah reformasi pendidikan yang meletakkan falsafah pendidikan sebagai dasar mendidik bangsa. Sebelum ini, pendidikan kita hanya berdasarkan Penyata Razak, Penyata Rahman dan sebagainya.

Penyata itu memang tidak memadai bagi membentuk bangsa yang bertamadun, tetapi itulah yang ada pada sejarah kita.

Falsafah juga tidak memadai jika kurikulum dan segala jentera pendidikan berbaur dengan elemen yang bertentangan dengan budaya setempat.

Apabila para pencemuh Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berasosiasi dengan masyarakat berbudaya Tahun Ayam, lalu mereka terus ghairah menggelar parti itu sebagai Parti Ayam Negara (PAN).

Memang mudah kerja menggelar atau melabel. Kerja rubber stamp adalah lambang kekuasaan sesuatu sistem.

Perhatikan bagaimana birokrasi dalam jabatan beroperasi. Semua peringkat perlu ‘main cop’.

Di sini saya dengan rendah diri mencadangkan ayam dijadikan simbol AMANAH.

Kawan, jangan kesal dipanggil parti "cap ayam" kerana mereka naif memahami makna hidup. Ayam adalah lambang kebangkitan dari zaman kegelapan kepada zaman pencerahan. Belajarlah memahami makna kebudayaan dan pendidikan yang pernah disyarah oleh Prof Zulkifli Muhamad pada tahun 1955.

Ia memang sudah lama dinukilkan oleh sarjana bangsa itu, namun masih utuh hingga sekarang. Itupun jika kita mampu menelaahnya dengan jujur dan dengan otak terbuka.

Kalian harus juga menelaah buku Hamka yang bertajuk ‘Falsafah Hidup’ dan tulisan Koentjaraningrat tentang kebudayaan, pemikiran dan pembangunan.

Selamat Tahun Ayam!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS