Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Pulau Pinang dicadang Anwar
Diterbitkan:  Feb 7, 2017 3:50 PM
Dikemaskini: Feb 8, 2017 4:58 AM

Mufti Pulau Pinang dilantik selepas nama calonnya dicadang dan diluluskan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelaskan perkara itu Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim hari ini berkata, Anwar turut selalu memberi pandangan kepadanya berkaitan pelantikan yang dipertua serta anggota Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

"Tidak ada campur tangan daripada Ketua Menteri, Lim Guan Eng," katanya pada sidang media di George Town, hari ini.

Kenyataan Abdul Malik dibuat selepas Lim memberi tempoh 48 jam kepada Berita Harian dan New Straits Times supaya memohon maaf dan menarik balik laporan mereka berkaitan dakwaan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Afnan dilaporkan berkata, Lim mencampuri urusan pelantikan mufti di negeri berkenaan bagi memastikan kontrak penyandang terdahulu, Datuk Hassan Ahmad, tidak disambung.

PAS juga mendakwa mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan Lim turut campur tangan dalam penetapan fatwa yang perlu dibentangkan kepada exco sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor.

Menurut Abdul Malik, kerajaan negeri tidak berhajat untuk memanjangkan polemik yang dianggapnya tidak berasas itu.

"Sebagai seorang ustaz, Afnan tidak sepatutnya membuat tuduhan begitu walaupun ia ditujukan kepada seorang pemimpin bukan Islam. Allah tak benarkan," katanya.

Abdul Malik juga menafikan tuduhan Afnan yang mendakwa kontrak Hassan - yang juga abang kepada Naib Presiden PAS, Idris Ahmad - tidak diperbaharui kerana beliau tidak bersetuju dengan Lim dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Bahkan, kata Abdul Malik, fatwa mengenai kalimah Allah serta 39 yang lain diwartakan kerajaan negeri pada 29 April 2010, ketika Hassan masih berkhidmat sebagai mufti.

"Wan Salim menggantikan Hassan pada 7 Jun 2014 iaitu empat tahun selepas fatwa tersebut diwartakan.

"Sepanjang tempoh empat tahun itu kontrak Hassan diperbaharui setiap tahun," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS