Kumpulan hak asasi manusia, Suaram menggesa pegawai penyiasat (IO) yang terlibat dalam kes kematian tahanan S Balamurugan Rabu lalu, digantung tugas.
Balamurugan disahkah meninggal dunia mati di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, tiga hari selepas ditahan di IPD berkenaan.
"Ahli keluarga mangsa telah memaklumkan bahawa mangsa mengalami pendarahan dan ‘muntah darah’ apabila dibawa ke mahkamah namun masih dibawa semula ke tempat tahanan.
"Juga terdapat kesan lebam dan kecederaan pada mayat mangsa apabila proses pengecaman dilakukan," kata pengarah eksekutif Suaram, D Sevan.
Beliau menggesa pegawai penyiasat yang terlibat digantung sepanjang siasatan serta kes ini dibicarakan di Mahkamah Koroner mengikut peruntukan Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.
"Seperti yang ditegaskan belum ini, kesihatan dan kebajikan orang kena tangkap (OKT) adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab pihak berkuasa.
"Oleh itu, mangsa sepatutnya diberikan rawatan apabila didapati mengalami kecederaan atau sakit, dan jika terdapat kematian IO sepatutnya dipertanggungjawabkan," katanya.
Menurut Sevan, kes kematian dalam tahanan masih terus berlaku kerana tiada badan yang benar-benar bebas bagi menyiasat dan mempunyai kuasa mendakwa agensi penguatkuasaan.
"Oleh kerana itu, pihak berkuasa masih lagi menikmati kekebalan dari sebarang tindakan undang-undang apabila menjalankan tugasan," ujarnya.
Suaram turut menuntut kerajaan menjalankan inkues bagi kes berkenaan dan menubuhkan badan pemantau bebas agar kejadian sama tidak berulang lagi.
Balamurugan, 44, ditahan pada Isnin dalam sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki lain, dan salah seorang daripada mereka dikehendaki polis kerana kes rompakan.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini berkata ia akan menyiasat kes kematian tersebut.
