Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib jamin kembalikan hak-hak Sarawak
Diterbitkan:  Feb 10, 2017 3:28 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kepada kerajaan Sarawak dan rakyatnya yang kerajaan persekutuan akan mengembalikan hak-hak negeri yang terhakis secara tidak sengaja daripada Perjanjian Malaysia 1963.

"(Berhubung) hak-hak Sarawak yang telah diambil alih oleh kerajaan persekutuan semasa pelaksanaan Perjanjian Malaysia, kami bersedia
mempertimbangkan untuk mengembalikannya kepada Sarawak," kata Perdana Menteri dalam sidang media selepas merasmikan Medan Selera Lundu.

Beliau berkata perbincangan mengenai perjanjian serta tafsiran perjanjian sedang berlangsung antara kerajaan negeri dan pusat.

"Diharapkan kita dapat mencapai satu persefahaman yang akan mencerminkan hasrat rakyat Sarawak selain memastikan Sarawak rakan kongsi kerajaan persekutuan yang kukuh," katanya.

Najib berkata peringkat kedua perbincangan sedang berlangsung dengan pembentukan lima jawatankuasa kerja di bawah setiausaha persekutuan dan setiausaha kerajaan negeri Sarawak untuk meneliti lima topik berbeza.

Jawatankuasa terbabit akan memberi laporan kepada perdana menteri dan ketua menteri.

Menjawab pertanyaan, Najib berkata tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk perbincangan itu memandangkan isu tersebut adalah kompleks, namun menambah bahawa sesetengah isu pentadbiran telahpun dilaksanakan seperti menambah bilangan guru dan doktor di Sarawak selain meningkatkan pembangunan.

"Peringkat kedua ini lebih rumit kerana melibatkan tafsiran undang-undang," katanya.

Mengenai tuntutan 20 peratus royalti petroleum untuk Sarawak, perdana menteri berkata rundingan masih berlangsung, dan menambah kerajaan persekutuan sedang melihat kaedah kreatif untuk membantu Sarawak.

"Saya belum boleh mendedahkannya pada masa ini namun kita akan tengok bagaimana kita boleh bantu Sarawak," katanya.

Sementara itu, semasa merasmikan Medan Selera Lundu yang dibina dengan kos RM4.2 juta, di Lundu, perdana menteri berkata beliau dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg komited untuk melihat sebarang anamoli dalam Perjanjian Malaysia 1963 bagi Sarawak dibetulkan.

Komitmen itu juga disebabkan kedua-dua mereka merupakan anak kepada pemimpin yang telah menandatangani perjanjian itu, katanya.

"Almarhum ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) menandatanganinya bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu manakala Tun Openg, bapa Abang Johari, menandatanganinya bagi pihak Sarawak.

"Oleh itu, sebagai anak kepada penandatangan, kami mesti menghormati terma dan syarat perjanjian itu," katanya semasa merasmikan Medan Selera Lundu yang dibina dengan kos RM4.2 juta, di Lundu, Sarawak hari ini.

Najib berkata ketua menteri sebelum ini Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, memiliki semangat kental untuk memperjuangkan hak-hak negeri ini semasa beliau mengambil alih pucuk pimpinan.

"Saya faham kenapa beliau lakukan ini kerana saya secara peribadi percaya bahawa sebagai pemimpin kami mesti merasakan denyut nadi akar umbi (rakyat).

"Penduduk Sarawak telah beritahu pada Adenan bahawa ada yang silap dengan Perjanjian Malaysia 1963 kerana banyak daripada hak negeri telah terhapus mengikut peredaran masa, disebabkan diambil alih oleh Putrajaya, mungkin secara tidak sengaja," katanya.

Najib mengulangi kesediaan beliau untuk berbincang dan berunding bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Sebagai satu keluarga dalam Barisan Nasional kami bersedia untuk berbincang dan berunding dan bertolak ansur di mana perlu," katanya

Najib berkata beliau yakin sepenuhnya bahawa rakyat Sarawak mahu kekal dalam persekutuan bagi membolehkan negeri itu untuk terus berkembang maju.

Berhubung Lebuhraya Pan Borneo, perdana menteri berkata Adenan mahukan projek itu bermula dari Telok Melano, paling hujung di barat Sarawak.

"Saya bersetuju dengan permintaan beliau, tanpa mengetahui ini akan melibatkan kos tinggi kerana perlu dibina enam jambatan dan laluan (jalan) sepanjang 32.7-km.

"Namun, saya bersetuju dan gembira dengan cadangan beliau itu walaupun kerajaan perlu menanggung kos RM580 juta kerana kata Adenan, kawasan itu adalah sebahagian Sarawak dan Sarawak ialah sebahagian Malaysia," katanya.

Calon BN

Mengenai pilihan raya kecil Tanjong Datu, perdana menteri berkata, Datuk Amar Jamilah Anu dipilih sebagai sebagai calon BN berdasarkan merit dan bukan untuk memulakan sebuah dinasti keluarga.

Selain itu, katanya, sebagai isteri kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, serta penyandang kerusi berkenaan, turut menjadi salah satu faktor.

"Apabila kami melakukan kaji selidik, kami sebenarnya mendapati namanya masih kekal di hati pengundi. Beliau amat popular dan menikmati penarafan yang cukup tinggi, sekali gus mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau," katanya.

Perdana menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Medan Selera Lundu berharga RM4.2 juta di sini hari, sempena hari terakhir lawatan tiga hari beliau ke Sarawak.

Najib berkata ia juga mendapati bahawa Jamilah adalah seorang yang ceria dan mudah didekati serta sering kali mewakili Allahyarham suaminya di majlis-majlis di kawasan itu.

Najib berkata beliau yakin Jamilah akan mampu meneruskan banyak misi dan agenda Adenan yang belum selesai.

"Kami berada di sini untuk memberi sokongan penuh dan pengesahan kepada beliau sebagai calon BN. Saya harap pengundi Tanjong Datu keluar beramai-ramai pada hari pengundian dengan memberi sokongan penuh kepada beliau.

"Berikan beliau majoriti terbesar supaya beliau boleh menang dengan gaya yang hebat," katanya.

PRK itu pada 18 Februari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Jamilah, Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dan calon Parti Reformasi negeri (Star), Johnny Aput.

Najib berkata calon pembangkang tidak relevan untuk masa depan pengundi Tanjong Datu.

"Mereka ini hanya boleh mengeksploitasi isu-isu yang tidak relevan semata-mata untuk membangkitkan emosi. Mereka tidak layak mendapat sokongan anda kerana apabila kita mengundi, kita mengundi dengan harapan mengubah hidup menjadi lebih baik," katanya.

Secara peribadi, Najib berkata, beliau terharu apabila melihat gambar beliau bersama Adenan di rumah rehat kerajaan semasa tiba di sana untuk berehat sebentar.

"Saya memegang tanganya pada satu majlis untuk menunjukkan sokongan penuh saya kepada beliau sebagai calon BN pada pilihan raya negeri yang lepas (pada Mei 2016).

"Saya kehilangan seorang sahabat yang amat dekat di hati saya. Saya meminta gambar itu dibawa pulang ke Sri Perdana untuk digantung di sana untuk mengingatkan saya tentang persahabatan saya dengan beliau, kemenangan besar beliau dalam pilihan raya itu dan kepimpinan agung beliau di Sarawak,' katanya.

Najib berkata Adenan mempunyai rancangan besar untuk Tanjong Datu, Lundu dan Sematan.

Katanya, Allahyarham mahu mengeksploitasi sepenuhya keindahan alam semulajadi di negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama.

Di majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM129 juta bagi menaik taraf sistem bekalan air di daerah Lundu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS