Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan Husam taktik tak mahu tanding PRU - Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Datuk Husam Musa sengaja tidak mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan sebab itu mendakwa parti itu menerima dana sebanyak RM90 juta.

“Saya rasa dia tak mahu tanding PRU akan datang. (Jadi) dia buat begitulah.

“Kalau bawa mahkamah (jadi) benda bohong, (bila) kalah tak boleh tanding dalam PRU. (Kalau) tak nak tanding beritahu senanglah,” katanya.

Bagaimanapun undang-undang menyatakan bahawa seseorang hanya hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya jika disabitkan dengan kes jenayah dan dihukum denda lebih daripada RM2,000 atau penjara dua tahun.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk saman fitnah yang diperkatakan Hadi, melainkan jika anggota parlimen Marang itu mengandaikan Husam diisytihar muflis jika kalah saman itu.

Undang-undang juga menyatakan bahawa individu yang diisytiharkan muflis tidak boleh bertanding pilihan raya.

Hadi berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Hadi mengulas mengenai kenyataan Husam mengenai dana itu dan tindakan PAS yang ingin menyaman ADUN Salor itu.

Sebelum ini Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Beliau yang dipecat daripada PAS pada Mei tahun lalu atas dakwaan melanggar disiplin membayangkan butiran mengenai dana itu akan muncul menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jumaat lalu Tuan Ibrahim berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat laman web Sarawak Report sebelum ini.

Katanya, PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat Datuk Husam Musa" bahawa parti itu menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

"PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Husam) sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report," kata Tuan Ibrahim.

 

Lihat Komen
ADS