Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Kami mewakili BEBAS, pergerakan yang memperjuangkan kesaksamaan, ingin menyeru kepada Yang Berhormat untuk menolak Rang Undang-Undang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS.

Ia bertujuan menambah hukuman Mahkamah Syariah sedia ada daripada denda RM 5,000, tiga tahun penjara, dan enam kali sebatan kepada denda RM 100,000, 30 tahun penjara dan 100 kali sebatan.

Yang Berhormat mestilah mengundi “tidak” terhadap Rang Undang-Undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), bukan sekadar “abstain” atau tidak hadir di Dewan pada waktu undi dijalankan.

Sikap berkecuali dalam hal ini dengan tidak mengundi hanya akan membolehkan RUU355 diluluskan.

Keadilan sosial dan kesaksamaan dari segi undang-undang

Sebagai sebuah negara majmuk kaum dan agama, kami berpendapat bahawa prinsip keadilan sosial yang paling penting adalah untuk semua warganegara Malaysia dilayan samarata di sisi undang-undang.

Dengan ‘pemerkasaan’ kuasa Mahkamah Syariah, ini akan melebarkan jurang perbezaan antara layanan dari segi undang-undang terhadap mereka yang beragama Islam dan mereka yang bukan Islam.

Malaysia sudah mempunyai Kanun Jenayah yang mencukupi untuk menghukum jenayah berat, sedangkan bidangkuasa Mahkamah Syariah rata-ratanya terhad kepada kes khalwat, lelaki memakai pakaian wanita, minum arak, hubungan seks luar nikah, dan kes-kes keluarga orang Islam.

Oleh kerana undang-undang Syariah adalah di bawah bidangkuasa negeri, adakah pada masa akan datang dewan negeri masing-masing akan menambah supaya jenayah curi, bunuh dan sebagainya tergunapakai di negeri masing-masing?

Ini akan menyebabkan kecelaruan dan perlapisan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, antara mereka yang beragama Islam dan bukan Islam.

Keberkesanan ‘pemerkasaan’ Mahkamah Syariah

Sejak mencetuskan idea untuk melaksanakan undang-undang hudud sehinggalah berubah penjenamaan semula kepada ‘pemerkasaan undang-undang Syariah’, tidak sekali pun Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong usul beliau dengan bukti kukuh potensi keberkesanan cadangan pindaan Akta 355. Beliau hanya mengulangi slogan dan jenama tanpa isi.

Sebagai anggota Parlimen dan wakil rakyat, sebarang perubahan polisi atau undang-undang hendaklah berdasarkan bukti keberkesanan hasil penyelidikan atau eksperimen oleh ahli akademik universiti ternama dunia, ataupun telah dilaksanakan di negara-negara lain dan mempunyai impak positif kepada masyarakat.

Kami difahamkan bahawa tujuan asal RUU 355 adalah untuk mengurangkan kejadian jenayah sosial dan masyarakat. Kami menegaskan bahawa memberikan hukuman yang lebih berat berbentuk punitif adalah tidak berkesan sama sekali.

Kami berpendapat bahawa melihat kepada konsep menghukum semata-mata tanpa usaha untuk rehabilitasi dengan cara baik dalam bidangkuasa Mahkamah sedia ada adalah tidak berkesan. Penambahan hukuman tidak akan menjamin pengurangan pesalah-pesalah jenayah Syariah baru atau pesalah ulangan.

Kami mencadangkan bahawa untuk konsep penyelesaian masalah keberlakuan jenayah Syariah secara keseluruhan, Malaysia patut melihat kepada negara-negara seperti Norway, Sweden, Spain dan Netherlands, di mana kadar jenayah secara keseluruhan sangatlah rendah sehingga mereka menutup penjara mereka yang kosong akibat ketiadaan pesalah.

Di Netherlands, mereka sehingga menukar penggunaan penjara yang kosong tersebut sebagai dijadikan rumah perlindungan sementara untuk pelarian Syria, Iran dan Morocco.

Mengikut hasil penyelidikan Houssain Askari, ahli akademik daripada Universiti George Washington bertajuk Indeks Ekonomi Islamik mendapati bahawa berdasarkan kajian lebih 208 buah negara, Ireland adalah negara paling Islamik di dunia.

Melihat kepada Indeks Ekonomi Islamik, 10 negara teratas di mana polisi dan pencapaian negara yang mencerminkan ajaran ekonomi Islam adalah - Ireland, Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapore, Finland, Norway, dan Belgium.

Parameter yang digunapakai adalah sekiranya sesebuah negara, masyarakat, atau komuniti menampakkan ciri-ciri seperti tiada pilihanraya, mengamalkan rasuah, penindasan, pentadbiran negara yang tidak adil, ketidakadilan dari segi undang-undang, ketidakadilan peluang untuk pembangunan manusia, ketiadaan kebebasan membuat pilihan (termasuk agama), kemewahan di samping kemiskinan yang ketara, paksaan, keganasan sebagai alatan penyelesaian konflik adalah berlawanan dengan dialog dan pendamaian. Yang paling penting, kezaliman dalam apa jua bentuk ialah bukti prima facie bahawa ia bukan satu masyarakat Islam.

Antara semua negara Islam di dunia, Malaysia di tangga teratas Negara Islam di No. 33, Kuwait kedua di Tangga No. 48. Kenapa Malaysia hendak melihat kepada negara-negara yang gagal seperti Arab Saudi, Nigeria, Zimbabwe dan sebagainya yang dirujuk sebagai negara Islam yang mengamalkan hukuman Syariah yang dikehendaki?

Penyalahgunaan Undang-Undang Syariah

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berulangkali mengatakan bahawa pindaan RUU355 hanya akan memberi kesan kepada orang beragama Islam, tetapi ini adalah kenyataan yang tidak benar.

Seorang ibu beragama Hindu ditolak hak penjagaan anak perempuannya dan tidak dibenarkan berjumpa, kecuali beberapa saat di dalam mahkamah, setelah suaminya menganut agama Islam dan menukar agama anak-anak mereka tanpa pengetahuan atau persetujuan Si Ibu di dalam kes Indira Gandhi.

Reevathi Masoosai, seorang isteri dan ibu yang dibesarkan seumur hidup sebagai penganut Hindu oleh neneknya, tetapi berstatus Islam di dalam kad pengenalannya, diambil tanpa kerelaannya dan ditahan di pusat pemulihan akhlak agama Islam sehingga 6 bulan dan dipaksa untuk makan daging lembu. Anaknya dirampas daripada suaminya yang beragama Hindu. Sebuah keluarga mengalami seksaan dan penindasan oleh satu institusi agama Islam yang dikatakan adil dan saksama.

Bagi komuniti Kristian, sudah berapa kali barangan keagamaan, terutamanya buku dan CD, walaupun hanya kegunaan khas sembahyang di gereja sudah dirampas oleh kedua-dua institusi agama Islam dan sivil. Ingat juga Nisha Ayub yang dipaksa memberikan perkhidmatan seks semasa ditahan di dalam penjara kerana memakai pakaian wanita.

Mereka yang menyokong pindaan RUU355 seperti tidak mengakui bahawa terdapat kelemahan teruk dalam perlindungan hak orang kena tuduh di dalam sistem sedia ada. Sebarang pemerkasaan hukuman Syariah akan memburukkan keadaan.

Sekiranya YB berdiam diri atau menyokong pindan RUU355 ini, bahawa bermakna bahawa YB membolehkan ketidakadilan belaku terhadap setiap komuniti YB sendiri.

Dengan ini kami menyeru sekali lagi, #TakNakUsul355.

Bagi pihak BEBAS,

Azira Aziz
Azrul Mohd Khalib


Petisyen ini dihantar kepada semua anggota Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan ini adalah pandangan penulis serta organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS