Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PKR dakwa gelagat Jamal ganggu urusan jenazah
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 2:21 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Pemuda PKR hari ini membidas tindakan demonstrasi keterlaluan oleh beberapa pemimpin Umno yang membawa keranda dan menggunapakai van jenazah ke ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, semalam hingga menyebabkan gangguan ketenteraman awam.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan penyokongnya yang membantah berhubung dakwaan penyelewengan dana peruntukan Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor itu telah menyebabkan kesulitan ke atas beberapa urusan jenazah.

“Kami juga dimaklumkan turut berlaku kesulitan ke atas beberapa urusan jenazah di beberapa kawasan di Selangor akibat ketiadaan kenderaan jenazah ketika itu.

“Ini membuktikan betapa Umno telah menyusahkan rakyat dengan gimik politik mereka yang keterlaluan dan melampau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Afif menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Selangor dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bukan budaya Islam, Melayu

Katanya, tindakan Jamal dan Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah itu membuktikan betapa Umno terus-menerus mengamalkan politik biadap, tidak matang dan tidak langsung melambangkan ciri dan budaya Islam dan Melayu.

“Sekali lagi Umno membuktikan betapa mereka adalah sebuah parti yang terdesak dan berada di dalam krisis kepercayaan yang parah sehingga sanggup untuk terus menerus menggunakan tindakan biadap dan jahat untuk berdepan dengan pimpinan PKR.

“Ini adalah bukti bahawa Umno dan Pemuda Umno terdiri daripada mereka yang gasar (barbaric), biadap dan tidak langsung mencerminkan budaya sebagai seorang Melayu dan Muslim yang baik,” kata Afif.

Semalam, Jamal tiba pintu masuk utama SUK kira-kira jam 11 pagi ini bersama 15 kereta jenazah sebelum mengusung keranda dan cuba memasuki perkarangan bangunan itu tetapi dihalang oleh pihak keselamatan.

"Anggap sajalah Azmin ada di dalamnya ya," kata Jamal yang  berpakaian seperti penggali kubur kepada hadirin.

Bantahannya mencetuskan sedikit ketegangan apabila sebuah lagi kumpulan tampil dan tidak mahu beliau “mengganggu” kerajaan negeri sehingga berlaku perang mulut dan cabar mencabar, sebelum disuraikan oleh pihak polis.

Mengulas lanjut, Afif berkata pihak polis perlu segera bertindak ke atas pemimpin Umno dan pengikutnya itu.

“Pihak polis juga harus memberi jaminan agar tindakan - tindakan biadap, keterlaluan dan menganggu ketenteraman awam seperti ini tidak lagi berulang,” katanya

Lihat Komen
ADS