Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjanjian inisiatif REDD K'tan tak penuhi syarat PBB - Wan Junaidi
Diterbitkan:  Feb 17, 2017 8:19 AM
Dikemaskini: 12:31 AM

Perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri Kelantan dan sebuah syarikat swasta berhubung inisiatif Melindungi Alam Sekitar daripada Pemusnahan Hutan dan Degradasi (REDD) tidak memenuhi syarat Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian itu juga bercanggah dengan syarat-syarat yang ditetapkan pertubuhan dunia tersebut.

"Mekanisme ini adalah berasaskan prinsip pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan tidak melibatkan mekanisme pasaran," katanya dalam kenyataan media semalam.

Sehubungan itu, katanya, semua kerajaan negeri digesa untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD daripada Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di talian 03-88861140 atau melalui e-mel di [email protected] bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai inisiatif REDD.

Baru-baru ini, syarikat kredit karbon pertama Malaysia, Climate Change Protector (CCP) Sdn Bhd dilaporkan menjalin usahasama dengan kerajaan negeri Kelantan berhubung inisiatif REDD.

Menurut laporan tersebut, syarikat itu diperuntukkan 396,000 hektar hutan atau 25 peratus kawasan tanah di negeri itu untuk dilindungi serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2)

Syarikat berkenaan yang membuat pengkhususan dalam tenaga boleh diperbaharui dan lestari, memperoleh projek itu menerusi inisiatif REDD PBB membabitkan tempoh konsesi 30 tahun dengan kerajaan negeri Kelantan.

Wan Junaidi berkata mekanisme REDD dilaksanakan di peringkat nasional dan dipantau Jawatankuasa Kebangsaan REDD yang dianggotai wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri.

"Saya ingin menegaskan bahawa REDD merupakan inisiatif yang diiktiraf sepenuhnya oleh UNFCCC dan amat berharap agar ia tidak terjejas disebabkan aktiviti-aktiviti yang tidak beretika oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurutnya kementerian sedang berusaha untuk mendapatkan pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca (RBP) melalui Dana Iklim Hijau (GCF).

Dana RBP tersebut akan digunakan oleh kerajaan pusat dan negeri untuk pelaksanaan program REDD, kata Wan Junaidi.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS