Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Keputusan tak kerjasama dengan BERSATU muktamad
Diterbitkan:  Feb 17, 2017 3:05 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Ketika mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sedang berlangsung bagi membincangkan kemungkinan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau tidak, kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal menjadikan keputusan sukar dicapai.

Bercakap selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di Marang hari ini, Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mempunyai hubungan dengan DAP dan parti serpihannya, AMANAH.

Katanya keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini.

"Terpulang kepada dia (BERSATU) untuk bekerjasama dengan DAP atau AMANAH tetapi PAS ada garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan kedua-dua parti tersebut," katanya yang dipetik Bernama.

Rakaman video sidang akhbar itu turut dimuat naikkan di portal Terengganukini.

Kenyataan Abdul Hadi itu dibuat beberapa jam sebelum anggota Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur tanpa kehadiran presidennya untuk mencuba mencapai beberapa persetujuan untuk kerjasama.

BERSATU dan PAS kali pertama kali berunding pada 1 Februari lalu dan bersetuju membentuk sebuah jawatankuasa induk bersama bagi merangka kerjasama bagi menghdapi pilihan raya akan datang.

Rundingan itu tidak dihadiri oleh Abdul Hadi dan PAS diwakili oleh timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehari kemudian, Abdul Hadi berkata ia sekadar satu mesyuarat dan menekankan bahawa keputusan tidak akan dibuat berdasarkan pandangan individu.

Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendedahkan bahawa Abdul Hadi enggan bertemu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil melahirkan kekecewaan, Mahathir berkata beliau tidak akan merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS.

Sebaliknya, beliau memberi PAS sebulan untuk memuktamadkan keputusan mereka.

Lihat Komen
ADS