Seorang peguam hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang jualan hartanah milik pelanggannya berjumlah hampir RM400,000.
Yuen Kwong Wai, 52, didakwa pecah amanah terhadap baki wang bayaran berjumlah RM305,637.21 daripada Yu Hung Sieng, Ling Ling dan Chieng Mee Kian kepada Law Hwi Chow untuk penjualan hartanah milik Law seperti dalam perjanjian jual beli bertarikh 17 Februari 2014.
Tertuduh didakwa tidak menyerahkan wang itu kepada penjual sebaliknya didakwa menggunakan untuk kegunaan sendiri.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang RM90,000 yang merupakan baki bayaran daripada Abdul Jamil Majid kepada Majid Hamid untuk penjualan hartanah Majid seperti dalam perjanjian jual beli bertarikh 26 Februari 2015.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di firma guamannya, Tetuan Yuen & Co, di Jalan Sri Hartamas 7, Taman Sri Hartamas, di sini, masing-masing antara 10 September 2014 dan 9 Jun 2015 dan antara 15 Januari 2016 dan 10 Febaruari 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan sebarang wang jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan ia kesalahan serius.
"Sekiranya jaminan dibenarkan, pendakwaan khuatir tertuduh melarikan diri dan terdapat kemungkinan saksi pendakwaan diganggu," katanya.
Peguam tertuduh, Pang Teck Yaw memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana anak guamnya mempunyai isteri dan anak yang menetap di negara ini dan tiada risiko untuknya melarikan diri.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin serta menyerahkan pasport.
Mahkamah menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes.
- Bernama
