Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes bunuh Jong-nam bawa banyak wang, bertukar hotel, potong rambut

Wanita dengan akronim 'LOL' pada bajunya ketika ditahan minggu ini berhubung dengan pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam menginap di hotel-hotel murah, membawa banyak wang tunai dan memotong rambutnya sehari sebelum berlakunya insiden itu di KLIA2 .

Menurut penyambut tetamu di salah sebuah hotel berkenaan, seorang wanita yang menginap di bawah nama warga Vietnam Doan Thi Huong pada hari Ahad 12 Februari keluar pada awal pagi Isnin, hari pembunuhan itu berlaku, dan kembali kemudiannya, tanpa menunjukkan sebarang tanda tekanan.

Polis percaya dia adalah orang yang, pada sekitar jam 8.20 pagi itu, mendatangi abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un itu dari arah belakang di terminal syarikat penerbangan tambang murah di ibu negara Malaysia dan menujah ke mukanya bahan beracun yang boleh membawa maut.

Menurut laporan media Malaysia, Doan memberitahu polis dia telah ditipu untuk melakukan apa yang disangkanya adalah satu gurauan. Wanita kedua yang ditahan, seorang warga Indonesia, juga menyangka dia terlibat dalam satu gurauan, demikian menurut beberapa laporan media.

Seorang penyiasat persendirian memberitahu Reuters bahawa tingkah laku wanita itu memperlihatkan sifat seorang operatif risikan.

Gumpulan wang, gunting rambut

Doan tiba di Hotel Qlassic - sebuah hotel dua bintang - dan mendaftar masuk pada hari Sabtu 11 Februari. Seorang kakitangan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia duduk di dalam bilik yang paling murah, yang tidak mempunyai tingkap.

"Saya masih ingat dia mahu melanjutkan tempoh dia menginap di sini, dan mahu membayar dengan gumpulan wang tunai di tangannya," kata seorang lagi kakitangan Hotel Qlassic, yang bertugas di meja depan, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Sia.

Selepas satu malam, Doan berpindah di Hotel CityView, dan dia tiba dengan membawa sebuah suitcase, satu beg galas, sebuah teddy bear yang besar, kata penyambut tetamu di situ kepada Reuters, tetapi enggan namanya disiarkan. Dia berkata Doan bercakap dalam bahasa Inggeri yang boleh difahami.

Dia meminjam gunting dari meja depan pada sebelah malam sebelum insiden itu, dan seorang kakitangan pengemasan menemui rambut di atas lantai dan dalam bakul sampah pada hari berikutnya.

"Dia menemui gunting di atas meja dalam bilik. Dan ada rambut bertaburan di atas lantai, (Doan) telah membuang sebahagiannya ke dalam bakul sampah tetapi keadaannya masih berselerak," kata penyambut tetamu itu.

Menurutnya, pada hari berikutnya Doan memakai baju yang dilihat dipakainya di CCTV lapangan terbang yang memberinya gelaran nama 'LOL Girl' dalam media Malaysia.

Doan keluar hampir sepanjang waktu pagi itu dan, apabila kembali, dia kelihatan "relaks" dan "tidak kelihatan marah atau bimbang".

Doan mengadu mengenai Wifi di dalam biliknya dan apabila diberitahu yang ia tidak boleh dibaiki sehingga petang, dia mendaftar keluar dari hotel itu.

Dia kemudian mendaftar menghuni di Hotel Skystar yang juga berdekatan, dan keluar selepas satu malam menginap di situ, kata seorang pekerja.

Tidak diketahui di mana Doan pergi selepas itu. Polis berkata, dia ditangkap pada pagi Rabu, kira-kira 48 jam selepas pembunuhan itu, di terminal yang sama di mana Kim Jong-nam disasarkan.

"Jika anda tanya saya, adakah pergerakan itu menunjukkan dia seorang operatif risikan, maka saya akan kata ya," kata seorang penyiasat persendirian di Kuala Lumpur yang tidak mahu namanya disiarkan.

"Itulah caranya operasi mereka. Mengubah penampilan, berurusan guna wang tunai, tiada jejak ditinggalkan dan sentiasa bergerak."

[Baca berita penuh]

Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS