Tuduhan membeli undi: Isa Samad digantung enam tahun
Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad telah digantung jawatan dan keahliannya selama dua penggal atau enam tahun selepas Lembaga Disiplin Umno mendapatinya melanggar tataetika pemilihan parti itu tahun lalu.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad telah digantung jawatan dan keahliannya selama dua penggal atau enam tahun selepas Lembaga Disiplin Umno mendapatinya melanggar tataetika pemilihan parti itu tahun lalu.
Isa, 56, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, merupakan pemimpin tertinggi Umno yang dihadapkan ke lembaga disiplin dan didapati bersalah terhadap tuduhan membeli undi.
Beliau didapati bersalah terhadap tiga tuduhan membeli undi bagi merebut salah satu tiga jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu September lalu.
Dalam pemilihan tersebut, Isa memperolehi undi tertinggi 1,507 diikuti Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329) dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).
Beliau juga didapati bersalah atas dua lagi tuduhan melanggar etika pemilihan parti kerana menganjurkan perjumpaan dengan para perwakilan untuk tujuan berkempen.
Isa mempunyai dua minggu untuk mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan dan Majlis Tertinggi Umno terhadap sabitan kesalahan dan hukuman oleh Lembaga Disiplin itu.
Jika gagal dalam rayuannya, beliau perlu melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan jawatan naib presiden, menteri wilayah persektuan dan ketua umno bahagian Teluk Kemang di Negeri Sembilan.
Berikutan hukuman penggantungan tersebut jika disahkan oleh Majlis Tertinggi bermakna Isa tidak boleh terbabit secara aktif dalam politik sehingga tahun 2011.
Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, kekal sebagai ahli Parlimen Jempol.
Pembantu Isa turut dihukum
Lembaga Disiplin Umno membuat keputusan tersebut dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas memanggil Isa memberi keterangan berhubung tuduhan-tuduhan terhadapnya.
Turut digantung keahliannya ialah Setiausaha Politik Isa, Salim Shariff selama tiga tahun kerana didapati bersalah menjadi ejen kempen Isa.
Kelmarin, Isa dipanggil mengadap Jawatankuasa Disiplin selama kira-kira satu jam untuk membela diri terhadap sembilan tuduhan terhadapnya tujuh tuduhan membeli undi, termasuk tiga tuduhan memberi rasuah kepada para perwakilan pada pagi sebelum pengundian berlangsung.
Dua lagi tuduhan ialah mengadakan perjumpaan untuk tujuan berkempen yang dilarang oleh parti. Lembaga itu juga bertemu dengan 30 pengadu yang kesemuanya dirahsiakan identiti mereka dan dikecualikan daripada sebarang tindakan.
Salim yang juga Ketua Pemuda Umno Jempol berkata, Isa terperanjat dengan keputusan tersebut dan akan mengemukakan rayuannya minggu depan.
Zaid digantung tiga tahun
Sementara itu, Lembaga Disiplin juga menggantung Ketua Umno bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim selama tiga tahun kerana mengkritik lembaga itu yang memberinya amaran selepas mendapatinya bersalah terbabit dengan politik wang.
Zaid mendakwa lembaga tersebut telah bertindak di luar undang-undang negara, sewaktu beliau membangkit perkara tersebut dalam sidang Parlimen dua bulan lalu.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, adalah satu kesalahan bagi ahli parti membuat kenyataan terbuka sehingga menjejaskan imej parti.
Sebelulm ini, lembaga itu mendapati Zahid bersalah melanggar etika pemilihan Umno tahun lalu dengan menggunakan ejen bagi berkempen bagi pihaknya tetapi beliau hanya diberi amaran.
Berikutan itu, beliau telah membayangkan kemungkinan untuk bersara daripada politik selepas dihukum oleh lembaga tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.