Barisan Nasional tidak harus memandang sepi masalah etnik yang menjadi isu dunia hari ini, saran setiausaha agungnya Tan Sri Mohamed Rahmat hari ini.
"Misi kita, bagaimana untuk mengatasi isu (masalah) hubungan antara kaum dalam segala keadaan," katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai konvensyen gabungan itu yang dijadualkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu ini.
Mohamed menyebutkan krisis ekonomi, globalisasi dan teknologi maklumat merupakan cabaran baru negara dan parti-parti BN juga harus mempunyai arah tuju baru bagi menangani isu tersebut.
Bekas menteri penerangan itu menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini yang berhasrat menganjurkan forum perhubungan kaum di antara parti-parti komponen gabungan itu.
Apabila ditanya sebab BN baru sekarang menumpukan kepada isu tersebut, Mohamad menafikan tindakan pakatan itu suatu yang baru.
Ditanya lagi sama ada usaha-usaha ini disebabkan peralihan sokongan orang ramai kepada parti pembangkang, beliau berkata: "Kita tidak takut, itu adalah perkara biasa."
Beliau turut menjelaskan konvensyen seumpama ini pernah diadakan pada tahun 1995 dan perjumpaan sebelum ini telah tertunda bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum ke-10.
Dalam taklimat tadi, Mohamad berkata buku dan video 'Mengimbangkan hak antara kaum' akan dilancarkan pada konvensyen itu nanti.
Acara itu dimulakan dengan ucap utama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada sebelah pagi dan diikuti ucapan 13 pemimpin utama setiap parti komponen.
Gabungan itu disertai Umno, MCA, MIC, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Gerakan, PPP (Parti Penduduk Progresif), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko).
