Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan tegur 'menteri persekutuan kurang bijak'
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 11:59 AM
Dikemaskini: 5:07 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini membidas cadangan memperbanyakkan wilayah persekutuan dengan mengambil tanah negeri.

“Malah baru-baru ini ada juga menteri persekutuan yang kurang bijak ingin membesarkan wilayah persekutuan dengan mengambil lebih banyak tanah negeri.

“Mungkin dia lupa tentang kedaulatan negeri-negeri.

"Malah hasil kerajaan persekutuan yang dikutip adalah daripada semua rakyat Malaysia dan harus diagihkan kepada semua negeri, bukan untuk wilayah persekutuan sahaja,” titah baginda.

Tanpa menyebut nama, baginda berkata pemimpin berfikiran sempit seperti itu akan meretakkan hubungan negeri dan persekutuan serta menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Bertitah ketika merasmikan Galeri darurat bukit kepong di Muar pagi ini, baginda menegaskan semua pihak supaya faham asas pembentukan persekutuan Tanah Melayu.

Titah baginda, “jika tiada negeri-negeri, tidak akan wujud persekutuan”.

Tidak jelas Sultan Ibrahim merujuk kepada siapa secara khusus.

Bagaimanapun Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor awal bulan ini telah melontarkan cadangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai wilayah persekutuan.

Katanya, ia bermatlamat untuk memastikan negeri itu mendapat limpahan pembangunan yang sama rata.

Sementara itu, Sultan Iskandar juga menegaskan hubungan baik kerajaan persekutuan dan negeri mestilah dihormati untuk membentuk Malaysia yang aman dan makmur.

“Saya tidak berniat untuk berpecah daripada persekutuan, tetapi mahu mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin di peringkat persekutuan supaya jangan lupa tentang hak dan kepentingan negeri-negeri, serta kuasa raja-raja Melayu yang tidak boleh disentuh atau dikurangkan,” titah baginda.

Baginda juga berharap kerajaan persekutuan terus membantu kerajaan negeri kerana negeri-negeri yang maju akan membentuk satu persekutuan yang kukuh.

“Dasar-dasar pemimpin dahulu yang gila kuasa, seperti memberikan desakan dan pelbagai syarat kepada kerajaan negeri jika mahukan peruntukan kewangan persekutuan, hendaklah dikaji semula,” titah baginda.

Lihat Komen
ADS